Selasa, 24 Julai 2018 | 2:49pm
SPA Muslimah guna produk kecantikan menepati syariah diajar kepada wanita di Kazakhstan.

Spa Mahabbah bantu wanita Kazakhstan

KUALA LUMPUR: Tidak menjangka, pengembaraan solo ke Kazakhstan empat tahun lalu memberi peluang Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mahabbah Malaysia mewujudkan kerjasama memajukan industri produk penjagaan diri.

Azzah Muyassarah Asat, bangga 'dilamar' sebagai rakan kongsi produk kecantikan Malaysia yang menepati syariah bagi memulakan operasi spa Muslimah pertama, Spa Mahabbah di negara itu.

Beliau berkata, hubungan bermula dengan ikatan persahabatan dengan jemaah masjid ketika menunaikan solat di masjid.

Katanya, beroperasi sejak Mei lalu, idea memajukan spa di sana meningkatkan ekonomi peniaga di negara itu yang 70 peratus daripada populasi beragama Islam.

"Tambah pula, kesedaran pentingnya hidup berlandaskan syariah diberi perhatian serius dan kerjasama kedua-dua pihak ini meningkatkan kepekaan menggunakan produk bersih dan halal," katanya ketika ditemui di Universiti Al-Madinah Antarabangsa (MEDIU), di sini, baru-baru ini.

Kata Azzah Muyassarah, lima peserta program yang kini usahawan terpilih sebagai mentor melatih kakitangan spa dalam kalangan kakitangan di sana.

"Selain menggunakan kepakaran dari negara kita, produk urutan, kecantikan dan spa menjadi pilihan mereka. Perkongsian ini termasuk manfaat menerusi bayaran royalti jualan," katanya.

Spa Mahabbah bertanggungjawab menyalurkan teknologi mempromosi industri spa berkonsepkan Muslimah di negara itu.

2,000 usahawan dibantu

Beliau berkata, sejak empat tahun lalu, kira-kira 2,000 usahawan dibantu mampu meraih pendapatan melebihi RM3,000 sebulan. Kira-kira 80 peratus daripada peserta mampu mengubah nasib dan menyara diri dan keluarga dengan selesa.

"Program keusahawanan diketengahkan membabitkan kemahiran dan perniagaan berasaskan makanan dan minuman, jahitan, pembersihan, spa dan salun, TADIKA serta TASKA.

"Ada usahawan yang menyertai program ini berupaya memasarkan produk dengan meraih perolehan sehingga RM20,000 sebulan," katanya.

265 dibaca
Berita Harian X