Isnin, 11 September 2017 | 3:47pm

Bunga raya atasi masalah rambut


SYAMPU daun bunga raya keluaran syarikat Janji Jitu. - Foto Halim Salleh

POKOK bunga raya bukan sekadar tumbuhan mekar sebagai penghias di halaman rumah atau taman, sebaliknya boleh dijadikan ramuan mengatasi pelbagai masalah berkaitan rambut.

Dalam perubatan Ayurvedic menggunakan kelopak bunga raya untuk merangsang pertumbuhan rambut dan mencegah masalah uban pramatang.

Selain itu, ia membantu menangani masalah keguguran rambut dan lendir dalam bunga itu membantu mengatasi masalah kegatalan kulit kepala dan melembapkan rambut.

Bagi wanita Cina dan India, mereka merebus bunga, daun dan pokok bunga raya, kemudian mencampurkannya dengan minyak herba sebelum melumurkan pada rambut untuk melebatkan rambut.

Wanita di bandar besar termasuk New York juga menyedari khasiat tumbuhan itu sebagai sebahagian daripada rejim kecantikan mereka, secara dalaman dan luaran.

Ini kerana selain disapu pada kulit untuk tujuan kecantikan, bunga raya juga boleh dicampur dengan teh bagi menyalurkan kebaikannya untuk mendapatkan tubuh yang sihat.

Pengarah Syarikat Janji Jitu Sdn Bhd yang pengeluar syampu jenama Inora dari ekstrak bunga raya, Norasmah Abd Ghani, berkata penggunaan daun bunga raya mampu memberi banyak faedah untuk penjagaan kulit kepala dan rambut.

Katanya, pada zaman dulu esktrak daun bunga raya juga pernah digunakan sebagai bahan pencelup hitam untuk rambut, selain untuk menghasilkan minyak wangi dan salap menyegarkan kulit kepala.

"Ekstrak daun bunga raya pula boleh membantu mengurangkan masalah kekeringan kulit kepala, keguguran rambut, kelemumur dan rambut beruban," katanya kepada BH Online.


PENGARAH Syarikat Janji Jitu Sdn Bhd, Norhasmah Abd Ghani menunjukkan syampu daun bunga raya. - Foto Halim Salleh

Ia juga mampu meningkatkan fleksibiliti dan keanjalan kulit kepala dengan cara membekalkan kelembapan diperlukan sepanjang masa.

"Daun bunga raya, umpamanya mempunyai sifat astringen semula jadi, antiradang dan mampu memerangkap radikal bebas dan sifat perencatan enzim.

"Kandungan lendir yang tinggi meningkatkan pengekalan kandungan kelembapan kulit sekali gus menjadikan daun ini berguna untuk melawan masalah kekeringan kulit kepala.

"Sifat astringen semula jadi itu juga membantu melembap dan merawat keadaan radang kulit dengan menyelesaikan masalah rambut kering," katanya.

Norasmah berkata, masalah kegatalan rambut dan keguguran biasanya berlaku pada wanita terutama bertudung kerana rambut tidak mendapat pengudaraan yang baik dalam tempoh lama.

Keadaan cuaca panas membuatkan ramai wanita tidak tahan berhadapan dengan situasi itu sehingga memberi kesan pada masalah kulit kepala.

Ramai menganggap mencuci rambut sudah mencukupi mengatasi masalah kegatalan, tetapi sebenarnya ia hanya mencuci di permukaan kulit saja.

"Jadi, tidak hairan lama-kelamaan kulit kepala menjadi bermasalah. Justeru, pokok bunga raya mempunyai 1,000 macam khasiat yang dapat membantu masalah terbabit," katanya.

845 dibaca
Berita Harian X