Jumaat, 5 Oktober 2018 | 12:37pm
SKIM dan polisi perlindungan sosial bersesuaian untuk pekerja penting. - Foto Arkib NSTP

Elak majikan gulung tikar

Hidayah Mohamad

hid_mohamad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menyediakan skim dan polisi perlindungan keselamatan sosial bagi membantu pekerja swasta dalam sektor tidak formal tanpa membebankan majikan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEFF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata ada majikan sektor itu tidak mampu mencarum kerana keuntungan kecil selepas menolak gaji dan kos utiliti lain.

Katanya, kerajaan seharusnya memikirkan skim bersesuaian membantu kedua-dua pihak termasuk masalah majikan.

Gesaan kerajaan mahu majikan bertanggungjawab menyediakan polisi perlindungan sosial dilihat mencabar majikan sektor terbabit dan industri kecil kurang berkemampuan sehingga mungkin ada yang terpaksa menutup perniagaan atau gulung tikar.

“Ini bukan bermakna pekerja sektor itu tidak dilindungi, tetapi kerajaan perlu melihat impak pelbagai sudut,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai 13.5 juta pekerja di negara ini masih tiada polisi perlindungan insurans dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).


Shamsuddin Bardan. - Foto Azhar Ramli

Shamsuddin berkata, syarikat mencarum 1.75 peratus setiap bulan kepada PERKESO, manakala pekerja mencarum 0.5 peratus.

Namun, ada sebilangan majikan terbeban disebabkan syarikat kecil dan kurang keuntungan.

“Mungkin majikan mencarum RM2, manakala pekerja pula RM1 menjadikan jumlah caruman seorang pekerja berjumlah RM3,” katanya.

Mengenai 13.7 juta pekerja di negara tidak dilindungi PERKESO, beliau berkata jika dilihat jumlah keseluruhan tenaga buruh adalah 15.5 juta, iaitu 1.6 juta di sektor awam dan sektor formal (7 juta) dan pekerja asing dengan permit (1.8 juta).

“Besar kemungkinan angka yang tidak mendapat perlindungan keselamatan sosial yang dimaksudkan dianggarkan tidak melebihi empat juta, membabitkan pekerja sektor tidak formal.

“Mereka mungkin tidak dilindungi mengikut Undang-undang Buruh kerana bekerja di tempat kecil atau micro-enterprise, iaitu majikan hanya menggajikan seorang hingga lima pekerja di pasar awam, pasar malam, gerai atau kedai runcit,” katanya.

131 dibaca
Berita Harian X