Ahad, 30 September 2018 | 10:28am

Ibu anak 3 dinobatkan Mrs Malaysia World 2018

KUALA LUMPUR: Ibu kepada tiga cahaya mata, Kokilam Kathirvailu dinobatkan Mrs Malaysia World 2018 selepas mengetepikan 17 peserta lain pada pertandingan akhir di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur, malam tadi.

Penasihat kewangan berusia 34 tahun itu menerima mahkota kejuaraan daripada Mrs Malaysia World 2017, Datin Harveen Kaur sambil disaksikan Mrs World 2017, Alice Lee Gianetta yang dijemput khas dari New York.

Beliau akan mewakili negara ini pada pertandingan Mrs World 2018 di wilayah Hunan, China yang terkenal dengan pergunungan menakjubkan pada 12 Januari, tahun depan.

Kokilam kini belajar dalam bidang pengajian psikologi di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) , berkata beliau berharap pembabitannya terus mencetuskan inspirasi kepada wanita untuk menggapai apa saja impian tanpa memikirkan akan kegagalan.

"Saya menyertai pertandingan ini kerana mendapat galakan daripada keluarga terutama dalam merealisasikan cita-cita selain mahu menjulang nama Malaysia di persada dunia, kerana merasakan tiada impian yang mustahil untuk dikecapi.


Kokilam Kathirvailu (tengah) bergambar bersama Lila Ruzaini Mohd Hussain (kiri) dan Marianny Ismail pada pertandingan akhir Mrs Malaysia World 2018 di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto BERNAMA

"Sebagai persediaan ke China nanti, saya akan membabitkan lebih banyak kerja kebajikan bagi memperkasakan lagi keupayaan wanita tanpa mengira latar belakang mereka," katanya yang membuat persediaan lebih empat bulan termasuk menghadiri uji bakat pertandingan.

Pertandingan itu turut disaksikan Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.

Kokilam dipakaikan mahkota yang bertatahkan bernilai batu berlian putih dan biru aqua marin bernilai RM2.5 juta tajaan Ceres Jewels, selain menerima barangan kemas jenama itu bernilai RM25,000; 1,000 syiling Gliztkoin, produk kecantikan Ceramiracle dan muncul dalam iklan antarabangsa serta pelbagai hadiah lain.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi Lila Ruzaini Mohd Hussain, 47, dari Pahang dan Marianny Ismail, 33, dari Kuala Lumpur, dengan masing-masing menerima 500 syiling Glitzkoin, penginapan hotel, trofi dan lain-lain.

Kokilam berkata, kecantikan wanita perlu dizahirkan dari dalaman dan perlu didatangkan dengan personaliti menarik, keinginan membantu masyarakat dan melakukan sesuatu dengan keikhlasan.

"Saya percaya melalui acara yang berprestij ini, menjadi platform untuk mempromosikan negara persada dunia sekali gus meningkatkan ekonomi," katanya.

3744 dibaca
Kokilam Kathirvailu dinobatkan Mrs Malaysia World 2018 pada pertandingan akhir di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto BERNAMA
Berita Harian X