Ahad, 30 September 2018 | 9:59am
FOTO hiasan.

Terengganu anjur perkahwinan percuma

KUALA TERENGGANU: Wang tunai RM1,000 dan jamuan untuk 100 tetamu antara insentif disediakan kepada 640 bakal pengantin di negeri ini yang kesempitan wang menganjurkan majlis perkahwinan.

Majlis secara percuma menerusi Program Walimatulurus 2018, anjuran kerajaan negeri itu, pada November depan, bertujuan mengurangkan bebanan kewangan pasangan muda yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, berkata kerajaan negeri menyasarkan 640 pasangan dari lapan kawasan Parlimen di seluruh negeri ini untuk menyertai program berkenaan.

Tak perlu keluarkan kos

Katanya, pasangan yang dipilih menyertai program itu tidak perlu mengeluarkan kos, sebaliknya semua peruntukan disediakan kerajaan negeri.

“Semua perbelanjaan termasuk untuk mengadakan jamuan perkahwinan, set persalinan pakaian pengantin untuk majlis akad nikah, khidmat jurunikah, dokumen nikah, set perkahwinan termasuk pelamin, andaman, kes, kad jemputan perkahwinan dan khidmat jurugambar akan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.

“Pasangan juga akan diberikan wang tunai sebanyak RM1,000 dan jamuan khas pengantin untuk 100 orang bagi setiap pasangan, selain pinjaman modal perniagaan di bawah Program Jaya Diri (PJD) Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Kuiz Alam Sekitar Lestari Peringkat Wilayah Timur di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PSKT, Afnida Aini Alwi.

Pada majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud muncul juara, SMK Tenglu Lela Segara (kedua) dan SMK Tengku Ibrahim mendapat tempat ketiga dan masing-masing memperoleh hadiah wang tunai sebanyak RM500, RM400 dan RM300, sijil penyertaan serta piala iringan.

Mudahkan urusan pasangan

Satiful Bahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, majlis perkahwinan perdana percuma ditukar nama kepada program Walimatulurus Perdana yang dianjurkan kerajaan negeri sejak 2016.

Beliau berkata, program Walimatulurus Perdana bertujuan meringankan beban pasangan dan keluarga terutama yang berpendapatan rendah, selain mempermudahkan urusan pasangan dalam melangkah ke fasa baharu kehidupan.

“Melalui program itu, setiap pasangan hanya perlu menyediakan mas kahwin, wali dan saksi manakala urusan lain akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” katanya.

1633 dibaca
Berita Harian X