Isnin, 24 September 2018 | 12:39am
SEBAHAGIAN peserta pada persidangan Wanita Harapan Negara

OKU dimanipulasi, dicabar haknya

PUTRAJAYA: Lima cabaran utama kerap ditempuhi wanita dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), iaitu berkaitan gangguan seksual, manipulasi, identiti, kebolehcapaian dan perlindungan terhadap mereka.

Meskipun golongan itu tidak sepatutnya berserah atau mengaku kalah, sebaliknya perlu bangkit memperjuangkan hak demi kepentingan sejagat dan mengelak sebarang bentuk penindasan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Aizan Sofia Amin, berkata golongan OKU tidak mempunyai akses terhadap kehidupan sosial, penyampaian maklumat dan beberapa aspek lain.

Katanya, isu gangguan seksual dan sering dimanipulasi, contohnya, ada antara mereka mengadu ada pihak mengambil kesempatan ketika rawatan perubatan moden dan tradisional.

“Mereka disentuh di bahagian tidak sepatutnya, namun kebanyakan kes tidak dilapor kerana dibelenggu perasaan malu atau perbuatan terbabit dilakukan orang dikenali seperti bomoh dan ketua kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan pandangan berkaitan isu OKU, pada sesi persidangan Wanita Harapan Negara sempena Hari Wanita Kebangsaan 2018, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


AIZAN Sofia (kanan) pada persidangan Wanita Harapan Negara sempena Hari Wanita Kebangsaan 2018 di PICC, baru-baru ini..

Aizan Sofia berkata, masalah kebolehcapaian akses hampir dilalui setiap OKU tanpa mengira jantina, latar belakang dan bangsa.

Katanya, kesukaran berkenaan merangkumi pelbagai aspek kehidupan, penjagaan kesihatan, tempat tinggal, termasuk di kawasan perumahan sendiri, hospital dan bangunan lain.

Bayangkan keluar masuk ke rumah seseorang, OKU perlu bergantung kepada ahli keluarga untuk mengangkat kerusi rodanya ke kenderaan berikutan tiada akses khusus untuk mereka.

“Ada kanak-kanak OKU yang bersekolah di Tahun Enam terpaksa berhenti berikutan ibu bapa tidak lagi mampu mengangkatnya naik ke tingkat atas kerana fizikalnya semakin berat, kurang kudrat dan mendepani pelbagai cabaran lain,” katanya.

Aizan Sofia berkata, beliau juga mengambil pandangan daripada 33 wanita OKU bagi menyelami kegetiran hidup mereka dari kecil hingga hari ini, berikutan mahu melihat cabaran dilalui golongan istimewa dengan lebih menyeluruh.

“Saya dikategori sebagai OKU selepas mendapat kanser tulang pada usia 14 tahun, serangan itu mengubah personaliti riang remaja kepada seorang kurang upaya, tidak sehebat mereka yang dilahirkan sebagai individu sempurna.

“Memakai tongkat sudah biasa bagi saya. Justeru, saya mahu kerajaan memberikan akses sama rata kepada golongan OKU dan masyarakat membuka mata serta meningkatkan kesedaran menerima kehadiran kelompok istimewa sebagai anggota masyarakat,” katanya.

Golongan OKU juga dinafikan hak untuk pekerjaan di mana tidak diberikan peluang diambil bekerja berikutan mereka berkerusi roda, membuatkan ramai memilih memencilkan diri jauh dari keluarga dan masyarakat kerana diketepikan peluang pekerjaan.

“Ada seorang OKU ini kesal apabila puluhan sesi temu duga ditolak berikutan status dirinya cacat membuatkannya mengambil keputusan bekerja lebih 10 tahun di bengkel terlindung,” katanya.

Cabaran dilalui wanita OKU juga dilihat apabila keinginan mereka untuk memulakan kehidupan berkeluarga ditentang keras keluarga bakal suami, mematikan impian menjalani hidup berkeluarga dan mempunyai zuriat.

“Ini terjadi kepada kebanyakan keluarga apabila mereka tidak boleh menerima hakikat bermenantukan seorang OKU untuk anak lelaki mereka. Tentangan ini membuktikan penerimaan masyarakat masih rendah terhadap wanita OKU di negara ini.

“Wanita OKU digambarkan secara negatif, misalnya sebagai objek tragik, mengundang simpati dan kekurangan bagi menggambarkan wanita terduduk lesu atas kerusi roda sebagai ditimpa kemalangan atau menerima kifarah atas perbuatan jelik masa lampau,” katanya.

Masyarakat perlu bertindak sebagai ejen yang boleh membawa perubahan, di samping kerajaan diharap perlu memperkasakan program OKU selain mewujudkan akta diskriminasi OKU.

Isu OKU seharusnya ditangani dengan lebih menyeluruh membabitkan jenis ketidakupayaan mereka mengikut usia, latar belakang, pendidikan, persekitaran dan sebagainya.

206 dibaca
Berita Harian X