Khamis, 20 September 2018 | 3:08pm
MOHD Shafiq dan Norhafiza bergambar di atas pelamin disediakan PAID Kuantan, selepas akad nikah baru-baru ini.

Pakej nikah RM200 berbaloi

KUANTAN: Kos RM200 bagi pakej pernikahan termasuk dilengkapi pelamin disediakan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan wajar diperluaskan di seluruh negara bagi meringankan beban pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Pengantin, Norhafiza Ibrahim, 37, berkata beliau bersama pasangan Mohd Shafiq Kamaruddin, 30, yang mengambil pakej itu dilihat amat berbaloi kerana tidak perlu menyediakan bajet tinggi.

Katanya, beliau tidak menyangka PAID Kuantan menyediakan pakej itu yang sangat membantu pasangan.

“Saya dan suami memang merancang bernikah di pejabat agama dan tidak tahu ada pelamin turut disediakan.

“Selepas dimaklumkan, saya dan suami bersetuju bersanding dan merakam kenangan kami di atas pelamin disediakan.

“Saya berpendapat, inisiatif ini patut diperluaskan ke seluruh negara dan caj dikenakan sebenarnya berpatutan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


PELAMIN disediakan ketika pernikahan di PAID Kuantan.

Kelmarin, BH Online mendedahkan PADI menyediakan pakej perkahwinan RM200 meliputi bayaran kos pernikahan (caj RM85), pelamin RM85, jurunikah (RM80), sijil nikah serta kad nikah (RM15) dan dua saksi (RM20) diperkenalkan sejak 2015.

Norhafiza yang juga pengusaha butik pakaian berpendapat pelamin disediakan setanding dengan ditawarkan perunding perkahwinan lain.

Beliau berkata, PAID juga menyediakan jamuan makan selepas majlis pernikahan jika mahu, tetapi saya memilih makan di restoran luar bagi meraikan hari bahagia dan mengadakan doa kesyukuran,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman, suri rumah hanya mahu dikenali sebagai Zulaika, 39, menggunakan pakej sama, tahun lalu, selepas mengambil keputusan untuk merujuk semula dengan bekas suaminya.

“Alhamdulillah sangat memudahkan dan menjimatkan perbelanjaan kami tanpa mengeluarkan belanja besar untuk majlis perkahwinan,” katanya.

Beliau tidak menyangka PAID Kuantan menyediakan pelamin di pejabat agama itu, kerana hanya memikirkan untuk kembali bersatu dengan suaminya.

“Apabila suami memaklumkan ada pelamin disediakan saya kata apa salahnya kita bersanding sekali lagi dan suami setuju. Memang murah hanya RM200, termasuk kos saksi dan jurunikah,” katanya.

Beliau yang berasal dari Indera Mahkota, Kuantan menyokong usaha diperkenalkan PAID Kuantan, kerana perkhidmatan sedemikian meringankan beban pasangan.

Katanya, selain proses yang tidak memakan masa lama, pengurusan PAID disifatkan bersikap profesional dan cekap dalam memudahkan urusan pernikahan mereka.

“Saya harap urusan baik seperti ini diperluaskan di daerah dan negeri lain, jika ada rezeki lebih boleh bersanding secara meriah tetapi jika tak mampu boleh dilangsungkan di pejabat agama,” katanya.

Perunding Kreatif, Jaja Ishak, berkata beliau bersama beberapa rakannya menerima idea diutarakan Kadi Kuantan, Abdul Zaki Md Zain bagi menyediakan pakej itu sejak tiga tahun lalu, sebelum membuat keputusan menaja pelamin.

“Ini sumbangan kami kepada masyarakat supaya dapat mengukir memori indah pasangan untuk bersanding dengan merakam gambar dan video,” katanya.

Pelamin dilengkapi kerusi panjang, selain hiasan bunga dan permaidani, turut mendapat maklum balas positif daripada pengantin serta keluarga mereka yang tidak menyangka perkara seumpama itu disediakan di pejabat agama.

652 dibaca
Berita Harian X