Rabu, 19 September 2018 | 11:17am

Bayar RM200 dah boleh kahwin

KUANTAN: Sering kali masyarakat Islam di negara ini mengeluh mengenai bajet perkahwinan yang disifatkan tidak masuk akal dan membebankan pasangan yang ingin membina mahligai rumah tangga.

Namun, pasangan yang ingin berkahwin kini mempunyai alternatif lain yang dianggap menjimatkan ‘poket’ mereka dengan tawaran akad nikah dan majlis bersanding disediakan serendah RM200.

Inisiatif itu diperkenalkan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan, sejak 2015 dilihat menjadi pilihan kepada pasangan yang kurang berkemampuan, selain pasangan yang ingin merujuk kembali.

Kadi Kuantan, Abdul Zaki Md Zain, berkata beliau terpanggil untuk menyediakan pelamin di bilik pernikahan di pejabat PAID, Jalan Masjid, di sini kerana ingin memberikan kenangan kepada pasangan selepas melangsungkan pernikahan.

Katanya, pelamin yang menelan belanja kira-kira RM2,000 itu ditaja oleh Perunding Kreatif, Jaja Ishak yang mana ia sudah memberi manfaat kepada lebih 300 pasangan sejak tiga tahun lalu.


KADI Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain ketika ditemubual berikutan Pakej nikah khas RM200 untuk menggalakkan pasangan berkahwin. - Foto Farizul Hafiz Awang

“Mereka yang ingin bernikah di PAID perlu mengemukakan permohonan dengan mengisi borang dan menyediakan beberapa salinan maklumat peribadi.

“Kemudian kita akan tetapkan tarikh mereka hadir bagi disatukan dalam majlis pernikahan serba ringkas. Selepas itu pasangan terbabit boleh mengambil gambar di pelamin yang kita sediakan,” katanya ketika ditemui NSTP di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Abdul Zaki menjelaskan, kos RM200 dibayar pasangan pengantin sebenarnya merangkumi bayaran kepada jurunikah, dua orang saksi dan proses dokumentasi kad serta sijil pernikahan.

“Bayaran itu meliputi kos pernikahan (caj RM85), pelamin RM85, jurunikah (RM80), sijil nikah serta kad nikah (RM15) dan dua saksi (RM20),” katanya.

Ditanya mengenai kumpulan pasangan yang sering kali bernikah di PAID Kuantan, Abdul Zaki berkata, mereka terdiri daripada pasangan yang ingin merujuk kembali, pasangan yang terlanjur, mereka yang tidak berkemampuan dan lelaki yang mahu berpoligami.

“Kebiasaan kalau pasangan itu terlanjur kita akan beri sesi kaunseling atau nasihat kepada pasangan dan keluarga mereka terlebih dahulu mengenai kesan jika pengantin perempuan sudah hamil dengan usia kandungannya tiga bulan ke atas.

“Di sisi agama Islam, anak yang dikandung berusia tiga bulan ke atas, pasangan belum bernikah tidak boleh menjadi wali dan menerima pusaka, selain ada beberapa perkara yang pasangan pengantin perlu tahu,” katanya.Abdul Zaki berkata, langkah diambil pihaknya bertujuan memudahkan pasangan mendirikan rumah tangga dengan majlis dilangsungkan dalam suasana sederhana.

Katanya, mereka yang berasal di luar Kuantan dan Pahang juga boleh melangsungkan pernikahan di PAID Kuantan seperti biasa.“Saya difahamkan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Pekan dan Maran juga menyediakan perkhidmatan pakej nikah RM200 serta pelamin di pejabat masing-masing.

“Bagaimanapun, di negeri lain saya tidak pasti sama ada turut menyediakan pakej nikah yang dilengkapi pelamin seperti yang kita lakukan.

“Pernikahan pasangan pengantin ini dilakukan oleh saya sendiri tetapi jika ada tiada atas sebab urusan kerja atau bercuti, jurunikah bertauliah lain yang akan menggantikan tempat saya,” katanya. Abdul Zaki berkata, pakej nikah berkenaan juga menjadi pilihan kepada lelaki dan wanita tempatan yang bertemu jodoh dengan warga asing.

“Bukan semua pasangan yang mahu berkahwin mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh.

Jadi mereka memilih pakej yang kita sediakan termasuk bersanding terus di pelamin yang kita boleh dikategorikan menarik dan cantik untuk mereka merakamkan detik bahagia masing-masing.

“Kita sebenarnya menyediakan pilihan kepada pasangan pengantin untuk menggunakan perkhidmatan pakej nikah ini dan ia adalah fardu kifayah untuk memudahkan mereka membina ‘masjid’ secara sah di sisi Islam,” katanya.

Ternyata pakej berkenaan memberi manfaat kepada ramai pihak dan berdasarkan kepada sambutannya ia menunjukkan inisiatif yang baik untuk kemudahan serta kepentingan umat Islam.

Beliau berkata, program seumpama itu wajar dilaksanakan di negeri lain mengikut pakej masing-masing.

3538 dibaca
KADI Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain (kiri) ketika ditemubual berikutan Pakej nikah khas RM200 untuk menggalakkan pasangan berkahwin. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X