Isnin, 17 September 2018 | 10:58am
Jurulatih Jarimas Academy, Maziatun Shahrudin (duduk empat kanan) bersama pelajar program kelas post natal yang dijalankan oleh Jarimas Academy di Diamond Square Commercial Centre, Jalan Gombak. - Foto Salhani Ibrahim

Jarimas Academy latih tukang urut moden

KUALA LUMPUR: Bidang perbidanan perlu diberikan pengiktirafan dan bukan hanya dijadikan sebagai profesion diwarisi turun-temurun, sebaliknya boleh dikomersialkan sebagai kerjaya profesional.

Justeru, bidang itu seharusnya lebih berdaya saing dengan memastikan individu yang mengikuti kursus kemahiran diiktiraf supaya khidmat mereka dipercayai.

Pengetua Jarimas Academy, Noratul Awiyah Shahruddin, berkata pengetahuan asas seperti mengenali sistem tubuh dan ilmu sains amat penting kepada penggiat industri perbidanan.

Katanya, pengetahuan asas itu juga dapat menjadikan profesion perbidanan atau tukang urut lebih moden dan setanding peredaran masa.

“Kita tidak mahu lagi melihat senario asas bidang urutan dan perbidanan diwarisi dari turun-temurun tanpa pengetahuan asas seperti sistem anatomi iaitu kemahiran urutan betul.

“Seiring kemahiran urutan, ilmu sains juga dapat memberikan penjelasan kepada masalah dialami pelanggan,” katanya ketika ditemui pada program kelas post natal anjuran Jarimas Academy, di sini, baru-baru ini.

Seramai 20 peserta mengikuti program Perusahaan Berasaskan Komuniti (CBE) yang mengkhusus kepada kelas post natal anjuran Jarimas Academy bagi melengkapkan diri dengan modul perbidanan bagi menjadi bidan profesional dan diiktiraf.

Noratul Awiyah berkata, atas inisiatif melahirkan lebih ramai tukang urut yang profesional, akademinya turut bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bagi memperkenalkan kursus urutan dan perbidanan.


Pengetua Jarimas Academy, Noratul Awiah Shahrudin mengadakan program kelas post natal yang di Jarimas Academy di Diamond Square Commercial Centre, Jalan Gombak. - Foto Salhani Ibrahim

Jurulatih Jarimas Academy, Maziatun Shahrudin (dua kanan) memberi penerangan kepada pelajar program kelas post natal yang dijalankan oleh Jarimas Academy di Diamond Square Commercial Centre, Jalan Gombak. - Foto Salhani Ibrahim

Selain itu, pihaknya turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bagi memperkenalkan teknik urutan Malaysia diperkenalkan sejak beberapa tahun ini.

“Pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan kelulusan daripada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) juga penting untuk melayakkan tukang urut mencapai standard tinggi.

“Pengetahuan asas mengenai aliran sistem tubuh sangat penting bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan sejajar dengan ilmu perubatan moden,” katanya.

Noratul Awiyah berkata, berikutan perkembangan pesat industri perbidanan dan tukang urut menambah minat lebih ramai wanita muda menceburi.

“Biarpun masih muda, kepakaran mereka tidak kurang hebatnya dalam merawat pelanggan dengan kemahiran disesuaikan mengikut penggunaan teknologi moden.

“Permintaan untuk urutan tradisional sangat tinggi, terutama di bandar kerana masyarakat lebih selesa dan merasai keberkesanan urutan itu,” katanya.

Peserta kursus, Nurasmah Zambri, berkata kelayakan sijil diterima dapat menguatkan imej penggiat industri yang mengusahakan secara kecil-kecilan.

Katanya, beliau memang berminat mendalami bidang urutan dan sentiasa mencari maklumat tepat mengenai urutan Malaysia.

“Minat mendalam mendorong saya berusaha mempelajari kemahiran dan teknik urutan dan perbidanan.

“Bengkel ini mengajar kaedah untuk menjaga ibu lepas bersalin, adab berpantang, selain mengenali urat saraf yang perlu diperbetulkan sebaik wanita selamat melahirkan,” katanya.

Nurasmah berkata, sejak menceburi bidang urutan dan perbidanan, beliau mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dilalukan dengan baik.


Jurulatih Jarimas Academy, Maziatun Shahrudin (kanan) memberi penerangan kepada pelajar program kelas post natal yang dijalankan oleh Jarimas Academy di Diamond Square Commercial Centre, Jalan Gombak. - Foto Salhani Ibrahim

“Paling penting perkhidmatan itu perlu menitik beratkan keselamatan, selain pengetahuan teknik urutan dan penjagaan yang tepat.

“Menariknya, perkhidmatan ini boleh dimulakan secara sambilan dengan perkhidmatan rawatan dari rumah ke rumah,” katanya.

Pesara awal sektor awam, Siti Hajar Darus, mengakui bidang urutan tradisional mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

“Berbeza dengan bidang rawatan kecantikan diceburi sebelum ini teknik urutan memerlukan kefahaman tinggi dari pelbagai aspek, terutama sistem anatomi.

“Menariknya bidang urutan dan perbidanan memerlukan kemahiran dan kefahaman mengenai sistem tubuh yang berkait rapat dengan pelbagai penyakit,” katanya.

Siti Hajar berkata, proses pembelajaran kemahiran mengurut perlu dilakukan dengan betul supaya tidak memberi kesan buruk kepada pelanggan.

“Bidang ini membolehkan kita belajar mengurut pada bahagian tubuh bermasalah seperti bengkak, terseliuh atau sebagainya.

“Ilmu mengurut sangat penting dan seharusnya setiap wanita perlu mempunyai pengetahuan mengenai bidang urutan.

Pengusaha spa bergerak, Siti Zainun Janudin, berkata teknik mengurut boleh dikuasai semua individu, tetapi untuk mendapatkan titik atau urat yang betul bukannya senang.

“Ia perlu dipelajari menerusi kursus diiktiraf dalam bidang urutan sebelum membolehkan diri memiliki keyakinan untuk mengendalikan perniagaan sendiri.

“Di sini, peserta akan menjalani latihan amali sebelum membolehkan mereka menerima sijil yang diiktiraf oleh akademi,” katanya.

Kemahiran mengurut dan perbidanan dipelajari menerusi kursus dapat menambahkan lagi perkhidmatan ditawarkannya sejak lima tahun lalu.

“Saya mahu tingkatkan kemahiran dan memberi perkhidmatan menyeluruh untuk wanita, terutama ibu selepas bersalin.

“Isu meroyan dalam kalangan golongan itu semakin membimbangkan dan mahu membantu wanita mengatasi masalah terbabit,” katanya.

225 dibaca
Berita Harian X