Jumaat, 14 September 2018 | 4:01pm
BEKAS Konsulat Jeneral Malaysia, di Frankfurt Jerman, Dr Adina Kamarudin.
GRADUAN Kolej Antarabangsa Murni hadir pada program Mengisi Kekosongan Pekerjaan di Jerman di GMI, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Peluang tenaga mahir wanita teroka kerja di Jerman

KUALA LUMPUR: Lebih ramai wanita tempatan dijangka bekerja di Jerman berikutan negara itu menawarkan kira-kira 900,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang menjelang 2020.

Ini berikutan Malaysia menjadi negara kedua selepas Filipina mempunyai keperluan tenaga kerja mahir wanita tempatan mempunyai tenaga mahir mencukupi dalam bidang kejururawatan dan penjagaan kesihatan untuk bekerja di sana.

Bekas Konsulat Jeneral Malaysia, di Frankfurt Jerman, Dr Adina Kamarudin, berkata ketika ini, agensi kerajaan seperti Federal Employment Agency (BA), Germany International Placement Service (ZAV) dan Make it in Germany (MiiG) giat membuat pemadanan pekerjaannya di negara ini.

Katanya, Malaysia menjadi pilihan kerana sukatan mata pelajaran di institusi pengajian tinggi bagi peringkat diploma dan ijazah di negara ini adalah antara yang terbaik di Asia Tenggara, selain melepasi piawaian yang ditetapkan kerajaan Jerman.

“Misalnya graduan perlu menguasai bahasa Jerman pada tahap B2 dan memiliki kelayakan akademik sekurang-kurangnya diploma dalam bidang berkaitan yang diiktiraf kedua-kedua negara berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Hari Terbuka bagi program Mengisi Kekosongan Pekerjaan di Jerman, di German Malaysian Institute (GMI), di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, penerangan berkenaan kelas intensif bahasa Jerman disempurnakan oleh Pensyarah Kanan GMI, Syed Sahabudin Al-Shahab.

Peluang keemasan Adina berkata, beliau menyokong penuh inisiatif itu kerana ia membuka peluang keemasan graduan tempatan bekerja di luar negara, memaksimumkan keupayaan diri dan membina masa depan lebih baik.

“Saya percaya ini akan menjadi norma pada masa hadapan, mendedahkan kepada bakal graduan untuk memperoleh pekerjaan lebih baik, selain mendapat pengetahuan terperinci kekosongan pekerjaan di Jerman,” katanya.

Sementara itu, perkara sama diperakui warga Jerman, Michael Maurer yang kini menetap di negara ini, yang menegaskan pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi amat diperlukan dan mereka mampu memperoleh berpendapatan tinggi.

“Sebagai warga Jerman saya melihat kerajaan kami sangat menitikberatkan bidang berkemahiran tinggi. Umpamanya, banyak kekosongan dalam sektor penjagaan kesihatan dan automotif. Ini memberi peluang lebih ramai warga asing termasuk Malaysia bekerja di sana dan meraih pendapatan tinggi.

“Saya melihat tenaga kerja dari Malaysia juga cekap dan mampu menyesuaikan diri dengan budaya serta persekitaran di Jerman,” katanya.

Pelajar Tahun Akhir Diploma Kejururawatan Kolej Antarabangsa Murni, Siti Norhasnizar Isahak, 21, ketika ditemui berkata beliau menunggu-nunggu saat sebegini kerana sering mengimpikan untuk bekerja di luar negara.

Katanya, hasrat berkenaan bakal menjadi kenyataan jika terpilih mengikut program terbabit. Beliau antara 20 graduan yang dijangka menamatkan pembelajaran Intensif bahasa Jerman selama lapan bulan bermula Oktober ini dan bakal bekerja dalam bidang kejururawatan di hospital di sana.

Kumpulan terbabit akan menjadi penanda aras terhadap kualiti graduan negara ini untuk bekerja di Jerman sebelum kumpulan terpilih yang lain akan menyusul.

“Sebelum ini, saya tidak tahu mengenai program ini kerana kebanyakan graduan kejururawatan lebih terarah bekerja di Arab Saudi dan negara Asia Barat lain.

“Jadi saya berharap sangat terpilih kerana ia peluang keemasan bekerja di luar negara dan menjadi bonus kerana jika terpilih saya akan mempelajari bahasa Jerman secara intensif,” katanya dari Batang Kali, Selangor.

Rakannya, Nurul Farzana Md Desa, 21, berkata program itu memberi jaminan pekerjaan lebih cerah bagi meraih pendapatan lumayan, namun bukan mudah dicapai kerana memerlukan individu lebih berdaya saing mempamerkan kualiti dan produktiviti pekerjaan.

Katanya, program disediakan dengan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Jerman itu dilihat mengikut prosedur standard.

“Misalnya, sebaik sahaja tamat pengajian diploma, saya perlu mendaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia, selepas itu baru boleh memohon kerja di luar negara,” katanya yang berasal dari Kulim, Kedah.

Bagaimanapun, beliau melihat kaedah berkenaan adalah lebih telus dan menunjukkan individu yang benar-benar layak diterima bekerja di negara terbabit.

“Saya yakin selepas diterima bekerja di sana, individu dapat meneroka dunia pekerja yang lebih mencabar, mengutip pengalaman dan ilmu. Kemudian mereka boleh berkongsi dan mencurahkan pengalaman apabila kembali ke negara ini,” katanya.

485 dibaca
Berita Harian X