Rabu, 2 Mei 2018 | 10:49am
BARISAN ahli jawatankuasa MASAT, Shinju dan Masumi bergambar bersama selepas demonstrasi masakan Jepun.
Noriko (kanan) dan Pascale (dua dari kanan) memerhati ahli membuat masakan takoyaki.

MASAT erat ukhuwah di bumi Jepun

TOKYO: Tidak sukar bagi isteri pegawai tentera dari seluruh dunia menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya asing ketika menemani suami bertugas dalam jangka masa lama di sini.

Menerusi pelbagai program diatur Kesatuan Isteri-isteri Atase Pertahanan (MASAT) di sini dan Kesatuan Isteri-isteri Pegawai Angkatan Pertahanan Diri Laut (Masumi) dan Udara (Shinju) Jepun, sokongan diberi tanpa mengira cabang perkhidmatan suami.

Aktiviti diatur setiap bulan membabitkan program utama anjuran MASAT iaitu jamuan minum pagi dengan memperkenalkan program kebudayaan dan kesenian setiap negara anggota di kediaman ahli.

Manakala Shinju dan Masumi yang dikendali isteri pegawai atasan pertahanan Jepun mengadakan aktiviti kebudayaan membabitkan kelas masakan dan kesenian serta lawatan ke tempat menarik sekitar Tokyo mengikut kesesuaian musim iaitu sejuk, bunga, panas dan luruh.

Presiden MASAT, Pascale Pipolo, berkata menerusi program sedemikian ahli MASAT dari hampir 40 negara dapat mengenali dan memahami budaya dan adat resam Jepun dan negara anggota sekali gus menjalin hubungan erat.

Beliau berkata faktor bahasa dan agama bukan penghalang untuk mereka berkongsi maklumat dan pandangan.

"Tugas saya adalah membantu ahli, terutama yang baru sampai di sini untuk menyesuaikan diri dan merapatkan hubungan antara mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Belajar masakan tradisi Jepun

"Aktiviti kelas masakan hari ini contohnya bukan sahaja membantu ahli belajar masakan harian yang menjadi tradisi hidangan keluarga Jepun, malah mengetahui dari mana sumber bahan masakan boleh diperoleh.

"Kelas diadakan ahli Masumi dan Shinju diketuai Presiden masing-masing juga sebagai penghargaan kepada ahli MASAT yang sentiasa menjemput mereka dalam program yang dianjurkan dari semasa ke semasa," katanya selepas kelas masakan tradisional Jepun, di sini, baru-baru ini.

Hampir 30 ahli MASAT menyertai aktiviti yang berlangsung lebih dua jam membabitkan wakil dari pelbagai negara termasuk Perancis, Kanada, Argentina, Brazil, Mexico, Belanda, Pakistan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Malaysia.

Yang turut hadir, Presiden Shinju yang juga isteri Ketua Staf Angkatan Pertahanan Diri Laut Jepun, Noriko Murakawa; Presiden Masumi yang juga isteri kepada Ketua Staf Angkatan Pertahanan Diri Udara Jepun, Midori Marumo dan isteri Atase Pertahanan Malaysia di Tokyo, Rahimah Abdul Malik.

Sementara itu, Noriko berkata sebanyak 10 jenis masakan yang sering menjadi hidangan harian keluarga Jepun diketengahkan dalam kelas masakan kali ini.

Beliau berkata antara masakan mudah dan berkhasiat yang diajar termasuk tempura, takoyaki, sushi, bebola ayam, tofu, telur goreng, salad, ayam goreng Karaage, puding teh dan kuih jeli Konjak.

"Kami juga menunjukkan cara membuat miso dan dashi yang menjadi bahan asas utama masakan Jepun seperti sup dan stew untuk dimakan bersama nasi, udon atau ramen.

"Bahan masakan ini mudah diperoleh termasuk dalam bentuk serbuk segera dan ahli juga mendapat penerangan lengkap mengenai kandungan bahan yang digunakan termasuk status halal," katanya.

Noriko turut menyatakan penghargaan kepada ahli MASAT yang terdiri daripada isteri Atase dan Penolong Atase daripada pelbagai cabang perkhidmatan pertahanan termasuk darat, udara dan laut.

"Mereka banyak berkongsi maklumat mengenai budaya negara masing-masing khususnya masakan tradisional, kesenian kraftangan dan tempat pelancongan sehingga menarik minat kami untuk berkunjung ke negara mereka," katanya.

Bagi Rahimah pula, program kendalian MASAT, Shinju dan Masumi amat menarik dan membantu mereka mengenali budaya serta tradisi Jepun dan negara anggota.

"Mereka juga memahami adat budaya dan negara kita, termasuk keperluan halal dalam hidangan apabila menganjurkan aktiviti," katanya.

300 dibaca
Berita Harian X