Isnin, 9 April 2018 | 10:52am
Sulaxmi Prasad (kiri) dan Ann Wee Li Tza hadir pada program Kesaksamaan Gender Di Tempat Kerja sempena Kempen Hari Wanita Digi MyReward di Ibu Pejabat Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), di Shah Alam, baru-baru ini. - Foto Sairien Nafis

'Tidak dilayan, dipaksa berhenti kerja'

SUBANG: "Ketika kandungan mencecah lapan bulan dengan alasan tidak mencapai sasaran jualan ditetapkan, saya diberhentikan kerja.

"Saya merayu untuk berbincang dengan bahagian sumber manusia di sebuah syarikat swasta tempat saya bekerja, tetapi tidak dilayan dan dipaksa berhenti," katanya.

Itu antara luahan seorang mangsa diskriminasi dalam sektor pekerjaan, Ann Wee Li Tza, 30-an, yang diberhentikan kerja, empat tahun lalu ketika mengandungkan anak kedua.

Ann berkata, isu pemberhentian kerja terhadap kakitangan wanita dianggap tidak seharusnya berlaku atas alasan hamil kerana majikan boleh memberi pilihan bekerja sementara di bahagian lain.

Katanya, semua majikan dalam pelbagai industri pekerjaan perlu melihat peranan wanita dianggap penting untuk membantu pembangunan negara.

"Lihat saja apa yang berlaku kepada saya. Dalam keadaan mengandung dengan perut yang sarat, sukar untuk mencari pekerjaan lain.

"Saya kemudiannya masih bernasib baik kerana diberikan peluang bekerja dengan seorang rakan yang prihatin dengan nasib saya itu," katanya

Beliau berkata demikian ketika program Kesaksamaan Gender Di Tempat Kerja sempena Kempen Hari Wanita Digi MyReward di Ibu Pejabat Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), di Shah Alam, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Editor Blu Inc Media Seema Viswanathan dan Pakar Sumber Manusia Digi Sulaxmi Prasad.

Mengimbas pengalaman lalu, Ann berkata, selepas bersalin beliau mengambil keputusan berehat kerana ingin menumpukan perhatian membesarkan kedua-dua anak.

"Bagaimanapun, selepas lebih setahun setengah saya cuba memohon semula pekerjaan. Tetapi ternyata lebih sukar kerana kebanyakan majikan kurang yakin dengan kemampuan saya.

"Antara soalannya, apa yang awak lakukan selama satu tahun setengah tidak bekerja. Mereka enggan mengambil risiko menggajikan saya di peringkat pengurusan," katanya yang kini beralih kerjaya sebagai penata gaya hidup bebas.

Meera berkata, kajian 'Invicible' oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) sejak awal tahun ini, mendapati 40 peratus wanita daripada 222 responden diberhentikan kerja kerana mengandung, tidak dinaikkan pangkat dan bonus.

"Pekerja wanita diberi surat berhenti kerja untuk ditandatangani atau kadangkala diberhentikan atau dipandang rendah dan dibekukan tanpa kenaikan pangkat serta gaji," katanya.

Justeru, WAO mendesak supaya Akta Kesamarataan Gender dilaksanakan secepat mungkin bagi melindungi mangsa yang berdepan diskriminasi gender.

"Mengikut akta ini, majikan boleh didakwa menerusi suruhanjaya dan tribunal terdiri daripada pakar dalam kesamarataan gender.

"Kita tidak mahu mangsa turun naik mahkamah kerana ia menelan kos yang tinggi dan ada kalanya kes berlarutan lama," katanya yang berharap akta itu dilaksanakan tahun ini.

Akta ini membolehkan mangsa mendapatkan keadilan sewajarnya khususnya dalam sektor swasta kerana berbanding sektor awam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

6075 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »