Isnin, 2 April 2018 | 1:00am
DATUK Seri Johari Abdul Ghani (kanan) diiringi Datin Hartini Abdul Ghani (kiri) menandatangani poster pada Program Pemantapan Hati Wanita 2018 #QuranHour di Kuala Lumpur. - Foto Adibah Idzham

3,000 wanita jayakan program #QuranHour

KUALA LUMPUR: Dianggarkan lebih 3,000 wanita dari sekitar ibu kota menyertai Program Pemantapan Hati Wanita 2018 #QuranHour secara berkumpulan dan individu sebagai sokongan dalam usaha menghayati panduan hidup yang ditetapkan menerusi kitab suci itu.

Kempen dianjurkan Koop Soho Wanita Kuala Lumpur, bertujuan menggalakkan lebih ramai peserta dalam kalangan wanita membaca, memahami dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya.

Pengerusi Koop Soho Wanita Kuala Lumpur Sdn Bhd, Datin Hartini Abdul Ghani, berkata pada program itu semua digalak meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk membaca dan menghayati pengajaran yang hendak disampaikan.

Program berskala besar ini kata beliau, antara inisiatif pihaknya untuk menggalakkan penyertaan masyarakat mendekati kitab suci itu sebagai panduan hidup.

"Usaha ini juga membantu memudahkan umat Islam supaya lebih memahami dan membacanya sepanjang tahun melalui aktiviti dijalankan sepanjang kempen berlangsung," katanya.

Kempen dilancarkan di Kampung Padang, Kampung Baru, di sini, semalam itu disempurnakan majlis perasmiannya oleh Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Johari Ghani.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Datuk Affendi Zahari; Pegawai Turus Amanita Kontijen Kuala Lumpur, ACP Latt Mazura Mansor; Ketua Wanita Bahagian Titiwangsa, Mar Daing Matruk.

Hartini berkata, bagi wanita yang tidak lancar membaca al-Quran, mereka berpeluang mempelajarinya dengan mengunjungi kira-kira 30 Rumah Ngaji diusahakan Koop Soho Wanita Kuala Lumpur.

"Rumah itu sambutan menggalakkan termasuk daripada individu, pelajar dan komuniti bahkan di luar negara melalui perkongsian menerusi laman sosial masing-masing," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Azlinda Abdul Hamid, berkata pengalaman menyertai program itu memberi peluang beliau dan empat anaknya meningkatkan kemahiran membaca al-Quran.

Aktiviti sebegini juga katanya, menjadi aktiviti mereka sekeluarga mengikut jadual ditetapkan. Kemudahan sama juga dimanfaatkan warga kota untuk mendalami pengertian yang terkandung dalam kitab suci ini.

Selain itu, wakil Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kuala Lumpur, Masliza Saim, berkata program memartabatkan wanita dalam meningkatkan kecekapan membaca al-Quran ini perlu diteruskan kerana kemahiran itu boleh dikongsi bersama ahli keluarga.

170 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »