Rabu, 14 March 2018 | 1:43pm

Risiko mati mengejut ketika beriadah

KUALA LUMPUR: Individu yang aktif dalam aktiviti sukan digalakkan menjalani sesi pemeriksaan kesihatan secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengelak sebarang risiko kesihatan tidak dijangka ketika bersukan.

Aliran bersukan sebilangan individu sebagai amalan gaya hidup, tetap mendatangkan risiko pada kesihatan seperti sakit jantung sekiranya tiada pemeriksaan dilakukan sebelum memulakan aktiviti berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, atlet dan individu yang gemar bersukan biasanya mempunyai tahap kesihatan lebih baik berbanding orang biasa.


DATUK Seri Dr Mohd Azhari Yakub. - Foto NSTP

Bagaimanapun, beberapa kejadian seperti kecederaan serius dan kematian mengejut dalam kalangan mereka yang aktif bersukan menarik perhatian IJN untuk mencari langkah proaktif bagi menanganinya.

Katanya, IJN sering menerima perkhabaran golongan ini mengalami masalah seperti serangan jantung ketika memanjat gunung dan berjoging.

"Kesedaran sudah ada dalam kalangan masyarakat untuk memilih gaya hidup aktif tetapi mereka kurang kesedaran untuk mengetahui status kesihatan sebelum menjalani aktiviti sukan.

"Jadi, kami adakan program dinamakan Pakej Kecergasan Atlet bertempat di Pusat Kesihatan IJN yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada pelumba basikal profesional dan individu yang memilih sukan sebagai gaya hidup.

"Menerusi pakej pemeriksaan kesihatan lengkap dan ujian fungsi utama tubuh termasuk jantung, hati, buah pinggang dan paru-paru, diharapkan masalah kesihatan yang tidak diketahui sebelum ini dapat ditangani dengan rawatan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan kerjasama antara IJN dan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Forca-Amskins, semalam.

Kerja sama dijalinkan bagi mempromosikan kesedaran betapa pentingnya pemeriksaan kesihatan secara tahunan kepada atlit mahupun orang awam.

Dr Mohd Azhari berkata, kerjasama itu juga dilihat berupaya menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengambil langkah aktif dalam soal menjaga kesihatan dalam jangka masa panjang.

"Pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh ini baik dilakukan terutama perokok dan yang ada sejarah penyakit jantung.

"Melalui pemeriksaan jantung secara berkala dapat memantau sebarang perubahan pada tubuh dan sejarah penyakit," katanya


PEMERIKSAAN kesihatan secara menyeluruh baik dilakukan terutama perokok dan yang ada sejarah penyakit jantung. - Foto hiasan

Sementara itu, Pengarah Urusan Forca Amskin, Muhammad Faiz Syarifuddin Abd Kadir, berkata atlet biasanya mempunyai kadar denyutan jantung yang baik iaitu antara 38 hingga 40 denyutan nadi seminit.

"Denyutan nadi bagi individu normal antara 60 hingga 75 degupan setiap minit.

Beliau mencadangkan kayuhan basikal dan berenang antara aktiviti sukan yang dicadangkan kerana risiko kecederaan lebih rendah berbanding aktiviti lain.

2607 dibaca
Berita Harian X