Ahad, 4 March 2018 | 11:10am
SEBAHAGIAN peserta menghadiri bengkel Pertolongan Kecemasan dan Bantuan Awal Kesihatan Mental anjuran Pfizer Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Kes sakit jiwa di Malaysia semakin merisaukan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 peratus populasi rakyat di negara ini mengalami masalah penyakit mental dengan majoriti wanita berisiko tinggi mendapat simptom berkenaan.

Gangguan mental akan menyebabkan wanita mudah berhadapan dengan kemurungan sehingga mendorong mereka untuk membunuh diri.

Profesor Bersekutu Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Dr Ng Chong Guan, berkata peningkatan pesakit mental dalam kalangan penduduk negara ini akan bertambah sekali ganda dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, berdasarkan nisbah, mendapati seorang daripada tiga orang menghadapi masalah kesihatan mental dan angka ini semakin membimbangkan tahun demi tahun.

Jumlah pakar psikiatri kurang

"Antara penyumbang gejala gangguan mental ialah faktor kemurungan dengan 40 peratus penduduk tempatan menderita sepanjang hayat mereka akibat penyakit berkaitan itu.

"Malah, wanita adalah penyumbang tertinggi kepada gejala penyakit jiwa atau mental berbanding lelaki," katanya.

Dr Ng berkata, meskipun jumlah pesakit mental meningkat, namun pakar psikiatri masih rendah.

Katanya, antara punca penyakit mental ialah ada kaitan dengan sejarah keluarga yang mewarisi gangguan jiwa dan tekanan.

"Dianggarkan 40 peratus pesakit mental disebabkan gejala schizophrenia sehingga kerap berlaku percubaan bunuh diri.


DR Ng Chong Guan menyampaikan syarahan pada bengkel bertajuk Pertolongan Kecemasan dan Bantuan Awal Kesihatan Mental yang dianjurkan oleh Pfizer Malaysia. - Foto Saifullizan Tamadi

"Ketika ini, 380 pakar psikiatri di negara ini. Negara memerlukan lebih 3,000 doktor terlatih dalam bidang berkenaan bagi menampung keperluan lebih 30 juta penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika bengkel bertajuk Pertolongan Kecemasan dan Bantuan Awal Kesihatan Mental yang dianjurkan oleh Pfizer Malaysia.

Dr Ng berkata, bantuan pakar psikiatri dan profesional merawat pesakit mental dan bantuan pengamal perubatan tradisional turut membantu merawat pesakit berkenaan.

Berlaku kecelaruan fikiran

Pensyarah kanan dan Pakar psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Michael Ang Jin Kiat, berkata tiga gejala utama masalah gangguan mental ialah penyakit jiwa, kemurungan yang teruk dan kecelaruan fikiran.

Mereka yang bercakap seorang diri, melihat, mendengar, merasai sesuatu yang sebenarnya tidak wujud atau sedang berhalusinasi, mempunyai pendapat atau kepercayaan silap atau mengelirukan atau delusi adalah terdedah kepada penyakit mental.


WANITA adalah penyumbang tertinggi kepada gejala penyakit jiwa atau mental berbanding lelaki. - Foto hiasan
6999 dibaca
Berita Harian X