Sabtu, 3 March 2018 | 9:16am

Widiya Habibah gah di padang bola

KUALA LUMPUR: Komitmen Widiya Habibah Shamsuri terhadap pembangunan dan kecemerlangan bola sepak wanita negara tidak pernah padam, lantas mahu melahirkan lebih ramai pengadil berkualiti dari Malaysia untuk liga sukan berprestij di pentas dunia.

Kehebatan Widiya Habibah, 41, melakar sejarah antara wanita pertama di negara ini dilantik sebagai pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2006 selain banyak lagi perlawanan di peringkat global masih sukar ditandingi.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), berpangkat sarjan itu, gah di padang bola selalu yakin tugas pengadil perlawanan bola sepak bagi mengawal 22 pemain sewajarnya dijadikan profesion yang tidak boleh dipandang sebelah mata.

Sehingga kini, kelayakan Widiya Habibah mengadili lebih 10 kejuaraan bola sepak antaranya kejohanan Piala Dunia Wanita FIFA 2015 di Kanada, selain Sukan Olimpik di Beijing, China (2008), patut menjadi kayu pengukur pada generasi muda.

Widiya Habibah berkata, kini tugas beliau lebih banyak memberi fokus kepada perancangan untuk memperkenalkan sistem pengadil profesional, selain sebagai ikon kepada golongan muda menceburi bidang itu sebagai kerjaya.

Katanya, beliau bertanggungjawab sebagai penilai untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pengadil muda bagi melahirkan pengadil berkualiti.

"Menjadi pemain bola sepak semakin diminati dan mendapat perhatian. Saya juga ingin mewujudkan atmosfera sama dalam dunia pengadilan dengan menggalakkan lebih ramai generasi muda menceburi bidang itu.

"Pendedahan mengenai dunia pengadilan bola sepak masih rendah terutama dalam kalangan wanita. Agenda itu perlu diberi penekanan supaya kita dapat menandingi pasaran pengadil seperti Korea dan negara Asia lain," katanya kepada BH.


Widiya Habibah Shamsuri menjadi perhatian selepas namanya dicalonkan dalam senarai Pembantu Pengadil Terbaik pada Anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 2012. - Nurul Shafina Jemenon

Widiya Habibah yakin peluang menjadi pengadil semakin cerah kerana negara ini menggalakkan pembangunan sukan itu seawal usia 15 tahun dengan melalui beberapa ujian.

"Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga mempunyai Akademi Pengadil Muda bawah 22 tahun dan Projek Gemilang yang terbahagi kepada beberapa sesi, pada setiap tahun untuk mencari dan menggilap bakat muda.

"Kaedah itu dapat mengelak pembaziran bakat dalam kalangan pelajar sekolah sukan untuk berkecimpung dalam dunia pengadilan memandangkan mereka mempunyai kelebihan dari sudut fizikal," katanya.

Widiya Habibah berkata, peranan pengadil sangat penting di padang kerana mereka yang menentukan sama ada sesuatu perlawanan itu berkualiti atau sebaliknya.

Katanya, tugas pengadil mungkin nampak mudah tetapi realitinya mereka perlu mempersiapkan diri dari segi mental, fizikal dan teknikal sama seperti pemain bola sepak.

"Bukan mudah menjadi pengadil kerana perlu menduduki beberapa peperiksaan mengikut tahap dan kriteria sebelum diiktiraf FIFA dan mendapat lesen pengadilan.

"Calon perlu menduduki kursus setiap tahun sebagai persediaan berhadapan dengan undang-undang permainan bola sepak yang sentiasa berubah.

"Mereka perlu berfikir dalam masa singkat untuk membuat keputusan yang telus, selain bergerak mengendali perjalanan pemain sepanjang perlawanan," katanya.

Jika melihat pencapaiannya, bukan dengan jalan pintas, sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan untuk memastikan beliau antara pengadil berkualiti di peringkat antarabangsa.


Widiya Habibah Shamsuri (kanan) ketika bertugas sebagai penjaga garisan, menjadi perhatian selepas namanya dicalonkan dalam senarai Pembantu Pengadil Terbaik pada Anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 2012. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Antara pengorbanan perlu dilakukan adalah meninggalkan keluarga dan kadang-kadang terpaksa mengambil cuti untuk mengadili kejuaraan bola sepak,

"Saya perlu amal diet pemakanan terkawal kerana perlu berlari lebih pantas daripada pemain supaya mampu lebih pantas untuk membuat pengadilan," katanya.

Justeru, hampir tujuh tahun dilantik menjadi pengadil wanita FIFA, ternyata pembabitannya semakin menjadi perhatian dicalonkan sebagai Pembantu Pengadil Terbaik pada Anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2012.

Pembabitan terbesar pengadil wanita kelahiran Rantau, Negeri sembilan ini dalam dunia pengadilan bermula pada tahun 2006 selepas terpilih menjadi sebahagian kontinjen pengadil pada Piala Dunia Bawah 20 Tahun di Russia.

Dua tahun selepas itu, Widiya Habibah sekali lagi berpeluang berada di Sukan Olimpik di Beijing 2008 dan seterusnya dilantik menjadi salah seorang pembantu pengadil pada Piala Dunia Wanita 2011, di Jerman tahun lalu menjadikan beliau wakil tunggal dari ASEAN.

Pada aksi sukan Olimpik di London 2012, pengadil wanita negara ini juga terpilih mewakili Malaysia menjadi antara barisan pembantu pengadil bersama wakil dari negara Asia lain termasuk Australia, China, Korea, Thailand dan Myanmar.

Selain seorang lagi pengadil wanita Malaysia, Rita Ghani, barisan penolong pengadil lain diberi kepercayaan FIFA adalah Allyson Flynn dan Sarah Ho masing-masing dari Australia, Kim Kyoung Min (Korea Utara), Saori Takahashi (Jepun) dan Zhang Lingling (China).

Katanya, antara kenangan manisnya sepanjang menjadi pengadil ialah pengalaman ketika beraksi pada Piala Dunia Wanita FIFA Russia antara paling digemarinya.


Widiya Habibah Shamsuri (kanan) ketika bertugas sebagai penjaga garisan, menjadi perhatian selepas namanya dicalonkan dalam senarai Pembantu Pengadil Terbaik pada Anugerah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 2012. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Selain itu, beliau turut menerima Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2013 bagi kategori Penolong Pengadil Wanita Terbaik.

"Sejak bermain sebagai pemain bola sepak di peringkat kebangsaan saya sudah menanam impian untuk menjejak kaki ke perlawanan piala dunia.

"Peluang untuk berdiri di padang dan mengadili perlawanan itu sememangnya membuatkan saya amat teruja sekali gus bersemangat membawa nama negara di persada antarabangsa," katanya.

Justeru, pembabitan Widiya Habibah dalam dunia bola sepak sewajarnya memberi aspirasi kepada pengadil wanita lain menempa nama di peringkat antarabangsa bagi mengharumkan nama negara.

"Karier ini tidak seharusnya dipandang sepi dalam kalangan wanita kerana bidang pengadilan ini sebenarnya mampu memberikan impak yang besar dan tugas pengadil sangat mulia dan tidak wajar dikritik secara keterlaluan.

"Pemain dan masyarakat perlu menghormati pengadil tidak kira jantina sama ada di dalam mahupun luar padang," katanya.

Profil : Widiya Habibah Shamsuri
Usia: 41 tahun
Tarikh lahir: 29 Mei 1975
Tempat lahir: Rantau, Negeri Sembilan
Pekerjaan: Anggota polis di Polis Di Raja Malaysia (berpangkat sarjan)
Pendidikan: Sekolah Menengah Datuk Mansor Bahau, Negeri Sembilan
Hobi : Berbasikal, memancing dan melancong
Sukan: Bola Sepak Wanita Peringkat Kebangsaan (1995 -2002)
Jawatan: Penolong Pengadil FIFA Elite (2005 -2015
Senarai pembabitan:

2016- 2017
- Jurulatih Pengadil (FAM dan AFC )
- Penilai Pengadil (FAM dan AFC )
- Ahli Jawatankuasa FAM (sehingga 2021 )


Widiya Habibah Shamsuri ketika ditemuramah wartawan BH.- Foto Nurul Shafina Jemenon

2015
- Pengadil Piala Dunia Wanita 2015 Kanada.

2011
- Piala Algarve 2011, Portugal
- Piala Dunia Wanita FIFA 2011, Germany

2010
- Piala Wanita Asia AFC, Chengdu

2009
- Bengkel Pengadil Wanita FIFA, Algarve Portugal
- Kejohanan Wanita AFF U16, Bangkok Thailand
- Piala Dunia Wanita FIFA U20, Chile

2008
- Kejohanan Wanita AFC, Ho Chi Minh
- Pertandingan Bola Sepak Olimpik, Beijing
- AFC Women's Asian Cup Ho Chi Minh Vietnam.

541 dibaca
Berita Harian X