;
Khamis, 1 March 2018 | 11:36am
Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Datuk Yeoh Soo Keng (lapan kiri berdiri) memotong kek pada Program Pra-prasetiaan dan Pelantikan Pandu Puteri (Remaja dan Renjer) Peringkat Negeri 2018 dan Majlis "Teddy Bear Launch Party" di Majestic Hotel. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Antara aktiviti pada Program Pra-prasetiaan dan Pelantikan Pandu Puteri (Remaja dan Renjer) Peringkat Negeri 2018 dan Majlis "Teddy Bear Launch Party" di Majestic Hotel. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Tarik remaja sertai Pandu Puteri melalui Facebook

Oleh Nor Hatina Shuib

hatina@bh.com.my

Kuala Lumpur

Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menggunakan media sosial seperti Facebook, untuk menarik minat lebih ramai remaja perempuan menyertai persatuan itu.

Selari hala tuju baharu mendekati remaja, sejak dua tahun lalu persatuan itu mengumpulkan 7,000 ahli di sekitar ibu kota.

Program itu mengikut peredaran zaman supaya dapat dimanfaatkan ahlinya.

Dahulu pandu puteri sinonim dengan aktiviti seperti berkhemah, program direncanakan persatuan itu kini lebih menyeluruh dan menyeronokkan.

Presidennya, Datuk Yeoh Soo Keng, berkata kaedah itu dilihat berkesan dalam menarik minat remaja menjadikan PPPM sebagai pilihan kokurikulum.

"PPPM sentiasa mengikut perkembangan semasa. Oleh itu, setiap program disediakan selari dengan jiwa remaja dan aktiviti dijalankan menarik, interaktif dan kreatif.

"Kami membuat perubahan ini supaya dapat mendekati remaja. Misalnya, untuk pendaftaran ahli, kita tidak lagi menggunakan kaedah manual dan ia dijalankan secara dalam talian kerana faham sekarang adalah zaman teknologi.

"Dengan mendekati ahli menerusi laman sosial seperti Facebook ia lebih berkesan kerana ia medium komunikasi remaja zaman ini," katanya.

Beliau ditemui pada Program Pra Persetiaan, Pelantikan 1,500 ahli Pandu Puteri Remaja dan Renjer Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sempena ulang tahun ke-102 persatuan di sini, semalam.

Pelbagai program kreatif dan inovasi dirangka sepanjang tahun dan menjangkakan penambahan keanggotaan ahli PPPM cawangan itu sebanyak 10,000 dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Kita mempunyai matlamat untuk menjadikan penyertaan ahli dalam persatuan ini sebagai bonus kepada pelajar, melengkapkan pakej sebagai pelajar cemerlang menerusi kurikulum dan kokurikulum

"Seperti diketahui, terlalu ramai pelajar pintar dalam akademik, justeru, penyertaan dalam persatuan ini lebih menonjolkan kebolehan mereka bersaing untuk mendapatkan biasiswa atau melanjutkan pelajaran nanti," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pandu Puteri Tunas Zon Bangsar, Aliza Alexander Selvaratnam Salim, berkata persatuan itu sentiasa memartabatkan penyertaan wanita, remaja sehingga kanak-kanak menerusi setiap aktiviti dijalankan.

"Kami memastikan setiap program dirangka relevan dengan kehidupan dan peranan remaja perempuan.

"Baru-baru ini, kami menjalankan aktiviti membuat kek, menyambut hari ibu dan bakal menjalankan produksi teater.

"Pendekatan ini dilihat lebih sesuai dengan cita rasa remaja masa kini berbanding aktiviti dulu," katanya.

Ahli Pandu Puteri remaja, Sekolah Menengah Padang Tembak, Nor Hazwani Taufik Edayat, 13, berkata selain aktiviti ditawarkan mencabar, ia sedikit sebanyak mengurangkan risiko remaja perempuan terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah.

"Sebagai ahli, kita didorong dengan amalan nilai murni seperti menghormati hak orang lain dan kepercayaan yang mengelakkan remaja melakukan aktiviti tidak bermoral seperti buli dan melepak," katanya.

Renjer Puteri Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa, Wan Dania Nor Adlin Siswairi, 16, berkata kelainan aktiviti ditampilkan persatuan itu kena dengan jiwa remajanya.

"Ia bukan sekadar aktiviti santai, tetapi memupuk minat remaja menjadi pemimpin dari peringkat sekolah dan memperlihatkan potensi diri sebenar seseorang dalam kepimpinan," katanya.

Renjer Puteri SMK Seri Bintang Utara, Nur Allia Nabihah Mohd Azmi, 16, berkata persatuan itu berupaya memperkasakan wanita dengan penyertaan pelajar perempuan dalam skala besar.

"Pelbagai faedah dapat dimanfaatkan menerusi aktiviti dijalankan yang dilihat berupaya memartabatkan pembabitan wanita dalam persatuan," katanya.

470 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »