;
Isnin, 26 Februari 2018 | 3:46pm
MAHKAMAH Syariah di setiap negeri disaran melantik hakim syarie dalam kalangan wanita sebagai pengiktirafan kepada mereka yang layak. - Foto Aziah Azmee

Syor lantik hakim syarie wanita di setiap negeri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah di setiap negeri disaran melantik hakim syarie dalam kalangan wanita sebagai pengiktirafan kepada mereka yang layak dalam mengendalikan kes berkaitan kekeluargaan.

Pelantikan itu juga sebagai pengiktirafan kepada kebolehan dan kelayakan yang mereka miliki dalam mengendalikan kes.

Setakat ini, 10 hakim syarie wanita termasuk satu jawatan kontrak di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dilaksanakan di beberapa negeri. Antaranya di Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perlis, Sabah dan Pahang.

Miliki kelayakan sama

Profesor Undang-Undang Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata beliau menyokong usaha meletakkan wanita sebagai hakim syarie di setiap negeri memandangkan wanita memiliki kelayakan yang sama.

Bagi usaha menyokong penyertaan wanita dalam bidang itu, beliau berkata, pihaknya sudah mengambil inisiatif melaksanakannya menerusi kempen dengan membuat penyelidikan hakim syarie wanita hanya tidak boleh membicara kes hudud dan menjadi wali hakim.


PROFESOR Undang-Undang Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak Fakulti Undang-Undang UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - Foto Rosela Ismail

Pelantikan wanita sebagai hakim Syarie katanya, tidak bertentangan dengan hukum. Pemilihan ini juga tidak menimbulkan masalah kerana Indonesia sudah lama ada hakim wanita mengendalikan kes syariah dalam pengadilan agamanya.

"Usaha ini juga bermula dengan penulisan dan menyuarakan secara peribadi kepada penyedia dasar dan pemimpin membicarakan cadangan ini," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Pada pertengahan 2010 lalu, buat pertama kali, dua wanita dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah di negara ini, iaitu Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak.

Masing-masing dilantik sebagai Hakim Syarie Mahkamah Syariah di Putrajaya dan Hakim Syarie Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur.

"Kajian bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengenai Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 2007, mendapati tiada halangan melantik wanita sebagai hakim syarie dalam enakmen undang-undang," katanya.

Beliau berkata, pembabitan wanita dalam memegang tanggungjawab itu tidak salah berikutan Islam melihat wanita dan lelaki berbeza dari fizikal dan biologi, namun kedua-duanya mempunyai peranan sama penting dalam pembangunan masyarakat.

Pelantikan secara terbuka

"Perbezaan ini sering ditafsir sebagai berat sebelah, tetapi sebenarnya berlandaskan hukum dan keadilan dengan memberi perhatian kepada sifat fitrah antara lelaki dan wanita," katanya.

Beliau berharap sebarang perlantikan dapat dibuat secara terbuka dengan mengambil kira calon terbaik dalam kalangan pegawai atau peguam syarie sedia ada.

313 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »