Sabtu, 24 Februari 2018 | 10:43am

Suriani KSU wanita termuda

PUTRAJAYA: Bukan sekadar berpengalaman luas berkhidmat dalam bidang pentadbiran awam, malah yang paling menarik, Datuk Suriani Ahmad mencatat sejarah sebagai wanita paling muda, dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) dalam jabatan kerajaan ketika ini.

Suriani, 49, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), berkuat kuasa, 3 November lalu.

Pada masa sama, Suriani adalah KSU keempat dalam kalangan wanita dilantik bagi jawatan berkenaan.

Justeru, Suriani yang sudah berkhidmat 23 tahun dalam pentadbiran awam, mahu membuktikan pelantikan itu adalah peluang terbaiknya untuk memperkasakan wanita, selain semua kumpulan sasaran di bawah KPWKM.

Sejak dilantik sebagai KSU, beliau cukup teruja kerana perlu menjaga kebajikan pelbagai lapisan masyarakat bermula usia bayi sehingga warga emas.

Sebelum ini, Suriani bertugas di Kementerian Pertahanan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang sama.


DATUK Suriani Ahmad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

"Berbekalkan pengalaman yang ada, saya mahu menjadikan KPWKM lebih proaktif pada masa depan, selain mahu memperkasakan setiap inci isu membabitkan golongan sasaran.

"Pencegahan lebih  baik daripada merawat, justeru KPWKM perlu lebih bersedia berdepan pelbagai isu daripada keruntuhan sosial sehingga ke bencana alam," katanya kepada BH.

Beliau berkata, nasib bayi yang dibuang dan ditinggalkan di merata tempat, umpamanya menjadi tumpuan beliau bagi memastikan golongan itu tidak disia-siakan pada masa depan termasuk menyediakan dokumen kelahiran untuk mereka.

Sejajar tahun ini, tahun memperkasakan wanita, Suriani juga menyasarkan untuk meningkatkan status dan martabat golongan wanita, selain memastikan lebih berwibawa, cemerlang serta membawa mereka keluar daripada kepompong keselesaan.


DATUK Suriani Ahmad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Wanita perlu berdikari dan tahu menjaga diri dalam semua keadaan supaya tidak menjadi mangsa keadaan khususnya keganasan rumah tangga.

Justeru, wanita perlu mengetahui hak mereka, selain bijak dan berdaya saing.

Suriani berazam untuk turun ke akar umbi bagi menjelaskan perkara berkaitan hak asasi wanita dan  perkhidmatan yang tersedia untuk mereka.

"Sejak dilantik sebagai KSU, saya berkesempatan meninjau penduduk di kawasan pedalaman seperti Sarawak yang hidup daif, rumah uzur dan ada warga emas tinggal sendirian.

"Selain menghulurkan bantuan, kami bertanggung jawab menyampaikan maklumat kepada kementerian berkaitan untuk mengatasi masalah dihadapi kerana ia di luar skop KPWKM," katanya yang ingin memastikan kebajikan warga emas terbela.

Katanya menerusi program 'Home Help', sukarelawan akan menziarahi warga emas yang tinggal sendirian dan memastikan mereka dalam keadaan sihat dan baik.

Ini kerana KPWKM memahami ramai anak atau ahli keluarga yang terpaksa keluar dan meninggalkan ibu bapa di kampung tetapi Suriani agak terkilan kerana ada anak yang langsung tidak pulang menjenguk mereka.

Sebagai anak restu ibu bapa amat penting untuk mencapai kejayaan yang diimpikan.

Suatu masa dulu, hatinya berat ketika melangkah untuk menduduki peperiksaan bagi menjawat jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). 

Minat sebenarnya lebih kepada bidang komunikasi yang dipelajari di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1993.

Namun, demi memenuhi permintaan ibu bapa yang mahu beliau mewarisi kerjaya bapanya sebagai penjawat awam, Suriani tetap menjalani peperiksaan berkenaan sehingga lulus dan berjaya melepasi sesi temuramah dijalankan.

"Saya terpaksa melupakan kerjaya sebagai Eksekutif Editorial di Bernama PR walaupun sangat menyukai kerjaya itu yang memberikan saya peluang keluar berjumpa orang ramai dan mengatur pelbagai program.

Bagi saya, restu ibu bapa lebih penting dalam semua perkara yang ingin dilakukan kerana ia adalah doa dan hasilnya, di sinilah saya berada kini," katanya yang pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Pengarah Dasar dan Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Nasihat saya kepada individu yang berminat menjadi PTD, mesti patriotik dan sayang negara kerana perlu menyumbang dan berbakti untuk rakyat serta menggalas tanggung jawab diamanahkan.

Beliau berkata, kakitangan PTD yang baik boleh memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat dan meletakkan diri mereka dalam situasi dihadapi rakyat.


DATUK Suriani Ahmad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

INFO:

Secara keseluruhan, KSU paling muda dalam jabatan kerajaan adalah Datuk Lokman Hakim Ali, berusia 46 tahun ketika dilantik jawatan itu, pada 15 Mac 2016.

Profil:
Datuk Suriani Ahmad

Jawatan: Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Asal: Perlis

Umur: 49 tahun

Anak: Tiga orang 

Tarikh Lahir: 28 Julai 1968

Kelulusan: 

  • Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Universiti Sains Malaysia (1993.)
  • Sarjana Strategi dan Diplomasi Universiti Kebangsaan Malaysia dan Diploma Pengurusan Awam Institut Tadbiran Negara (1996).

Kerjaya tertinggi pernah disandang:

  • Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertahanan (2014).
  • Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Kementerian Dalam Negeri (2015).

Pencapaian:

  • Anugerah Pekerja Contoh 2005 (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

9318 dibaca
Berita Harian X