Sabtu, 17 Februari 2018 | 7:11am
Aida bersama ibunya melihat sijil lantikan pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia Ke-13 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, kelmarin. - Foto Farizul Hafiz Awang

Aida cipta sejarah pegawai memerintah kapal Maritim

Kuantan: Leftenan Maritim Aida Arzahari mencatat sejarah sebagai wanita pertama negara dilantik sebagai pegawai memerintah kapal sekali gus meneruskan legasi arwah bapanya yang pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara.

Aida, 35, dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), kelmarin.

Anak sulung daripada tiga beradik ini mendedikasikan kejayaan itu kepada ibunya, Hamiah Zain, 57, yang turut hadir pada majlis pelantikan berkenaan.

"Ayah saya anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan memang saya amat rapat dengan ayah. Sebagai anak sulung, ibu mahu saya mengikut jejak langkah ayah.

Simpan impian

"Saya sememang menyimpan impian bergelar pegawai memerintah, namun tidak sangka ia secepat ini," katanya ketika ditemui selepas tamat majlis berkenaan, di sini semalam.

Kejayaan itu banyak didorong oleh ibunya yang tanpa jemu memujuk untuk menyertai Maritim Malaysia, meskipun memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan sebelum itu bekerja dalam bidang kewangan di sebuah syarikat membina kapal.

"Ibu adalah individu yang mencabar saya untuk menyertai Maritim Malaysia dan mahu saya melakukan yang terbaik.

"Saya juga mahu menyatakan penghargaan kepada lima pegawai atasan yang mempercayai kebolehan saya dan sering memberi semangat untuk terus berjaya," katanya.

Anak kelahiran Perlis ini berkata, pesanan arwah bapanya mahu beliau menjaga keluarga dan menjadi antara yang terbaik sebagai azimat buatnya setiap kali berasa putus asa.

Aida menyertai Maritim Malaysia pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah.

"Saya berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk menonjol dan mencapai kejayaan walaupun berada dalam bidang dimonopoli lelaki.

"Tunjukkan wanita juga berkebolehan menjaga keamanan negara," katanya.


Pegawai Pemerintah KM Nyalau DM3 (LUMUT) Wilayah Maritim Utara, Leftenan (M) Aida Arzahar menunjukkan sijil lantikannya yang merupakan wanita pertama memilikinya pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-13 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Gebeng. - Foto Farizul Hafiz Awang

Ikut jejak ayah

Sementara itu, Hamiah berkata, Aida banyak mewarisi keperibadian suaminya iaitu tegas, bertanggungjawab dan akan memastikan setiap tugas dilaksanakan dengan baik.

Justeru, beliau melihat Aida paling sesuai mengikut jejak langkah suaminya yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada 2007.

"Dua lagi anak saya berusia 17 tahun dan 22 tahun dan saya beritahu pada Aida, ikutlah jejak ayah," katanya.

"Meskipun sebelum ini Aida ada menyatakan hasrat untuk menceburi bidang perniagaan, namun saya dapat rasanya itu bukan 'jiwanya'," katanya.

1926 dibaca
Berita Harian X