Khamis, 15 Februari 2018 | 11:21am
AIDA Suzanna Pansai. - Foto Khairull Azry Bidin
KETUA Menteri, Tan Sri Musa Aman dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Majlis Penyerahan Mobilepreneur@KKLW di Kota Kinabalu, baru-baru ini. - Foto Khairull Azry Bidin

Mak andam guna motosikal tawar pakej perkahwinan

KOTA KINABALU: Selepas sembilan tahun berkecimpung dalam perniagaan berkaitan perkahwinan dan andaman di sebuah premis yang disewa di Keningau, seorang usahawan wanita kini bersedia menawarkan pakej perkhidmatan secara bergerak.

Uniknya, perkhidmatan bergerak yang bakal ditawarkan Aida Suzanna Pansai, 41, adalah menggunakan motosikal dan beliau akan menunggangnya sendiri ke lokasi pelanggan.

Apa yang menarik, motosikal berkenaan adalah sumbangan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kepada usahawan belia menerusi program Mobilepreneur@KKLW.

Beliau adalah antara 136 penerima kemudahan itu di Sabah yang disampaikan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pada Majlis Penyerahan Mobilepreneur@KKLW yang turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak berumur tiga hingga 15 tahun itu berkata, beliau tidak malu menunggang motosikal untuk memenuhi permintaan pelanggan, malah bersyukur terpilih menerima kemudahan berkenaan daripada kerajaan.

"Dengan adanya motosikal ini, saya dapat mengembangkan lagi perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan bergerak, khususnya di sekitar pekan Keningau.

"Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan kemudahan ini kepada usahawan kecil seperti saya. Ia sangat bermakna kepada kami dalam meningkatkan perniagaan," katanya.

Aida adalah antara 10 penerima bagi kategori fotografi berdasarkan perkhidmatan jurugambar untuk majlis perkahwinan yang ditawarkan beliau secara pakej bersama perkhidmatan andaman dan kelengkapan majlis perkahwinan.

Beliau juga adalah antara 28 usahawan belia wanita daripada 136 yang menerima motosikal menerusi program Mobilepreneur@KKLW itu.

Katanya, beliau baru menceburi bidang fotografi bagi menambah perkhidmatan sedia ada yang ditawarkan kepada pelanggan bagi menjadikan perkhidmatan perkahwinan dan andaman yang disediakannya sebuah pakej yang lengkap.

"Saya mengikuti kursus berkaitan fotografi dan digunakan untuk menawarkan perkhidmatan jurugambar perkahwinan sebagai satu pakej kepada pelanggan saya," katanya.

Secara keseluruhan, seramai 291 usahawan belia terpilih menerima kemudahan motosikal yang diberikan secara percuma berserta peralatan berkaitan perniagaan masing-masing di Sabah bagi peruntukan tahun lalu dengan baki 155 penerima akan menerima motosikal tidak lama lagi.

Program inisiatif Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu adalah untuk membantu golongan belia luar bandar yang mempunyai kemahiran menjalankan perniagaan atau perkhidmatan dengan modal permulaan yang rendah.

Musa dalam ucapannya berkata, program berkenaan menggambarkan komitmen berterusan kerajaan untuk membantu rakyat khususnya golongan belia di luar bandar bagi memajukan diri dalam bidang keusahawanan.

"Motosikal ini diberikan percuma berserta peralatan untuk menjalankan perniagaan. Penerimanya hanya perlu isi minyak untuk bergerak dan berusaha dengan gigih untuk memajukan bidang keusahawanan masing-masing.

"Ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melihat belia mempunyai pekerjaan sebagai sumber pendapatan sendiri dan membantu keluarga. Sehubungan itu, kita berharap penerima motosikal ini menggunakannya dengan sebaik mungkin," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan membelanjakan RM10,000 bagi setiap penerima motosikal berkenaan, merangkumi RM5,000 kos motosikal, peralatan (RM4,000) dan baki RM1,000 untuk latihan.

Katanya, kemudahan itu ditawarkan kepada usahawan belia dalam 13 bidang perkhidmatan seperti berkaitan automatif, elektrikal dan kecantikan.

Beliau berkata, secara keseluruhan kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta pada tahun lalu bagi melahirkan 3,000 usahawan bergerak menggunakan motosikal menerusi program itu pada tahun lalu dan RM10 juta lagi dengan 1,000 usahawan bergerak pada tahun ini.

819 dibaca
Berita Harian X