Isnin, 12 Februari 2018 | 7:00am

Misi kurus dengan gaya hidup aktif

BERIADAH lebih menyeronokkan jika dilakukan secara berkumpulan. Apatah lagi membabitkan aktiviti yang mengambil masa panjang seperti mendaki bukit atau meredah hutan.

Bagi yang menyukai aktiviti seumpama itu cuti hujung minggu adalah saat dinanti-nantikan untuk melepaskan gian mengunjungi air terjun, trek berbukit yang menjadi sebahagian gaya hidup sihat warga kota, jauh dari hiruk pikuk bandar.

Selain mengeratkan silaturahim, aktiviti sebegitu membina hubungan mesra seperti adik-beradik, hingga tidak terasa lelah mendaki trek yang kadang kala mengambil masa berjam lamanya itu.

Misalnya sekumpulan 12 orang peserta Jom Kurus 1Malaysia (JK1M) musim ke-10 (JK10) kumpulan Bangsar South menjadikan hujung minggu untuk aktiviti meredah hutan dan mendaki bukit bagi meningkatkan kecergasan sekali gus bersungguh menurunkan badan.

Kali ini kumpulan peserta itu menguji stamina dengan meredah hutan bagi menjejaki Air Terjun Lepoh, Hulu Langat yang mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit, menjadi tarikan kehijauan alam semula jadi.

Meskipun dianggap biasa oleh pencinta trek mendaki, namun bagi penulis ia dirasakan mencabar mental dan fizikal hingga mengungkapkan perkataan serik untuk mengunjungi pada masa akan datang.


EKSPEDISI air terjun Air Terjun Lepoh, Hulu Langat. - Foto Luqman Hakim Zubir

Bagaimanapun, perasaan itu hilang sebaik sampai ke puncak air terjun, sungainya kelihatan jernih jelas menampakkan ikan berenang bebas.

Penat mendaki trek 45 darjah yang dianggarkan lebih 300 meter itu ketika berhampiran puncak dirasakan berbaloi, apatah lagi kumpulan JK1M itu sabar menunggu penulis yang mengambil posisi di tengah-tengah kumpulan mereka.

Aktiviti riadah diketuai Jurulatih Kawasan Bangsar South, Suzana Mohd Tab, 33 menjadi menarik kerana beliau tidak jemu menyelitkan tip berguna khususnya mereka yang baru berjinak-jinak dengan kegiatan trekking.

Beliau yang jurulatih kumpulan sejak musim kelima mempunyai sasaran mengurangkan 100 kilogram (kg) bagi keseluruhan 20 peserta di bawah selian sebelum cabaran enam minggu berakhir pertengahan Mac depan.


JURULATIH JK1M Kawasan Bangsar South, Suzana Mohd Tab. - Foto Luqman Hakim Zubir

Berikutan peserta terdiri pelbagai latar belakang, usia dan kecergasan, aktivitinya adalah berbeza mengikut kemampuan sekali gus membuatkan masing-masing 'enjoy' mengikuti setiap aktiviti.

"Dulu berat badan saya 118 kg dan berjaya mengurangkan 56 kg dalam masa setahun kira-kira tujuh tahun lalu. Alhamdulillah, ia kekal sekitar 66 kg.

"Mungkin kita boleh kurus, tetapi perubahan itu mungkin hanya sementara jika tidak menjaga pemakanan atau bersenam. Ramai orang kurus, tetapi ramai berat naik semula," katanya.

Aktiviti trekking kemuncak kami dengan masing-masing tidak melepaskan peluang bermandi air terjun, menikmati suasana perkelahan dengan makanan sihat yang dibekalkan Medofu, wrap sate ayam yang menjadi rakan penaja JK1M.

Eksekutif bank, Muhammad Fakhrullah Hashim, 32, berkata gaya hidup sihat adalah bagaimana individu itu berjaya mengamal, mengimbangkan dan mengawal kesihatan mereka dari segi fizikal, rohani dan sosial.


AKTIVITI meneroka hutan, menjadi antara pengisian program Jom Kurus. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Jadi saya mula menyertainya pada musim kesembilan, tahun lalu. Perkara yang membuatkan saya tekad untuk kurus selepas menghadapi masalah kesihatan yang membataskan saya untuk berdiri, duduk dan berjalan terlalu lama.

"Jadi doktor menasihatkan saya turunkan berat badan, jika mahu pulih. Meskipun kini belum mencapai berat ideal, saya berjaya mengurangkan 18 kg dengan cara sihat, iaitu 108.55kg kepada 99.9kg dengan mengawal pengambilan makanan berminyak, bergula, garam dan makanan diproses seperti daging burger, kek, air gas dan minuman Milo yang menjadi kegemaran.

Bagi pelajar sebuah universiti tempatan, Norhaliza Md Rejab, 21, berkata beliau tertarik dengan aktiviti mendaki kerana sukakan aktiviti mencabar dan pada masa masa sama membantu mengurangkan berat badan.

"Apa yang membuatkan saya mahu kurus kerana berdepan masalah memulih pakaian. Sukar mencari pakaian bersaiz besar, malah saya pernah menebalkan muka mencari seluar untuk saiz lelaki," katanya.

512 dibaca
SEBAHAGIAN peserta ekspedisi air terjun Air Terjun Lepoh, Hulu Langat. - Foto Luqman Hakim Zubir
ANTARA peserta JK1M beriadah dekati alam. - Foto Luqman Hakim Zubir
EKSPEDISI air terjun Air Terjun Lepoh, Hulu Langat. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X