Rabu, 10 Januari 2018 | 4:10pm
KETUA Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Juanis Solidau (tiga dari kiri) merasmikan The Inner Wheel Garden Plaque di Menara Jam Atkinson, Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

Inner Wheel sasar gaya hidup sihat

KUALA LUMPUR: Menyasarkan gaya hidup sihat, majlis makan tengahari anjuran Persatuan Antarabangsa Inner Wheel turut diisi dengan ceramah berhubung sistem imunisasi, penanaman kebun organik dan sajian berasaskan makanan organik kepada ahlinya.

Presidennya, Monica Gregory, berkata gaya hidup sihat sering diperkatakan tetapi tidak ramai mempraktikkannya, justeru persatuan itu menampilkan kelainan pada acara makan tengahari yang turut diadakan sejajar ulang tahun kelahiran pengasas persatuan itu, Margeret Golding, pada 10 Januari setiap tahun.

Katanya, ia bertepatan dengan tema antarabangsa iaitu 'Kekalkan legasi abadi' dan Malaysia menterjemahkan tema itu dengan 'Kekalkan kehijauan untuk generasi akan datang' serta menyajikan ceramah berhubung kesihatan.

"Kita berharap ilmu diperoleh pada program ini, boleh dikongsi kepada ahli keluarga lain," katanya pada majlis makan tengahari di sini, hari ini.

Kira-kira 150 ahli persatuan hadir memeriahkan acara berkenaan. Inner Wheel Club ditubuhkan sejak 1967 dan dianggotai lebih 300 ahli.

Kelab antarabangsa itu ditubuhkan pada tahun 1924 di Manchester, United Kingdom adalah organisasi wanita terbesar di dunia dengan lebih 45,000 keahlian di lebih 33 negara.

Gregory berkata, antara program diatur persatuan sejak kewujudannya termasuk membantu kanak-kanak kurang upaya.

"Antara bantuan dihulurkan termasuk wang tunai kepada Rumah KITA dan Yayasan Sunbeams. Sumbangan berbentuk keceriaan persekitaran seperti pemberian langsir baharu turut dihulurkan kepada Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR)," katanya.

Majlis sama turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM11,600 kepada Inner Wheel Club Pulau Pinang untuk diagihkan kepada mangsa banjir Pulau Pinang, baru-baru ini.

145 dibaca
Berita Harian X