Selasa, 9 Januari 2018 | 2:40pm
DATUK Seri Rohani Abdul Karim (dua dari kanan) melancarkan laman Tahun Memperkasa Wanita 2018 di Facebook pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM Bil 1/2018 di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri KPWKM Datuk Azizah Mohd Dun (tiga dari kiri) dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Suriani Ahmad (kanan). - Foto Nursyahirah Marzuku

5 kluster perkasakan wanita

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan lima kluster Tahun Memperkasa Wanita dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata kementerian tidak memberikan sebarang peruntukan khas kepada mana-mana jabatan atau agensi di bawahnya melaksanakan program memperkasakan wanita.

"Kita tidak mempunyai bajet khusus namun, kita akan bekerjasama dengan semua pihak seperti kementerian dan agensi berkaitan, selain sektor swasta termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis untuk menonjolkan peranan wanita dalam program mereka.

"Sebagai contoh, kluster kesihatan akan diketuai oleh Kementerian Kesihatan dan dibantu badan lain untuk menjalankan saringan kesihatan wanita seperti pemeriksaan kanser payudara menerusi program sedia ada," katanya pada sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Suriani Ahmad.

Pada majlis itu, Rohani turut melancarkan laman Tahun Memperkasa Wanita 2018 di Facebook bagi mendapatkan maklum balas, pandangan atau cadangan orang ramai mengenai program untuk memperkasa wanita.

Beliau berkata, melalui laman itu, pihaknya dapat mengumpulkan maklum balas dari semua pihak mengenai program yang berteraskan lima kluster Tahun Memperkasa Wanita 2018.

Katanya, pelbagai sesi membabitkan rakan kongsi strategik dan personaliti turut diadakan secara berterusan bagi mendapatkan sokongan semua sektor dalam memperkasa wanita di negara ini.

"Kita akan mengaturkan pelbagai program untuk menjayakan Tahun Memperkasa Wanita mengikut lima kluster iaitu Kluster Wanita dan Kesihatan (Gaya Hidup, Kecantikan dan Sukan); Kluster Wanita dan Keselamatan; Kluster Wanita dan Ekonomi; Kluster Wanita dan Pendidikan (Latihan dan Pembangunan Kapasiti) dan Kluster Wanita dan Budaya (Kesenian dan Media).

"Bagi merealisasikan hasrat ini, dianggarkan sebanyak 345 program terkumpul yang direkodkan KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk dilaksanakan sepanjang tahun dalam usaha memperkasakan wanita di peringkat global.

511 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »