Ahad, 7 Januari 2018 | 4:34pm
LAM Thye (tengah) dan Balasupramaniam (dua dari kiri) melawat pameran keselamatan pada Kempen Kesedaran Jenayah Jalanan Wanita Kali Keempat dan Anugerah Iron Lady 2018, di Subang Jaya, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Jenayah wanita catat penurunan

SUBANG JAYA: Kes jenayah membabitkan wanita mencatatkan penurunan sebanyak 244 atau 6.7 peratus daripada 3,866 pada 2016 kepada 3,622 kes, pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, kes rogol mencatat penurunan iaitu daripada 1,650 kes pada Januari hingga November 2016 berbanding 1,467 kes, dalam tempoh sama tahun lalu.

Kes mencabul kehormatan turut mengalami penurunan, iaitu daripada 1,369 kes kepada 1,195 kes pada tempoh sama.

Bagaimanapun kes keganasan rumah tangga dan sumbang mahram masing-masing mencatatkan peningkatan lapan peratus dan 22 peratus iaitu daripada 467 kepada 507 kes serta 227 kepada 276 kes, bagi tempoh sama.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berharap orang ramai terutama wanita tidak mengambil mudah isu keselamatan kerana jenayah boleh berlaku pada sesiapa sahaja.

"Semua pihak perlu bertanggungjawab mengambil bahagian dalam program pencegahan jenayah dianjurkan pelbagai pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Kesedaran Jenayah Jalanan Wanita Kali Keempat dan Anugerah Iron Lady 2018, di pusat beli-belah Summit USJ, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengasas dan Presiden Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya (RSMC), K Balasupramaniam.

Seramai 14 wanita menerima Anugerah Iron Lady di seluruh negara atas sumbangan aktif mereka dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

Lam Thye, berkata sistem kamera litar tertutup (CCTV) perlu diselenggara secara berkala dan keselamatan di stesen minyak perlu ditingkatkan di kawasan berisiko.

"Walaupun jenayah membabitkan wanita seperti rogol, cabul kehormatan, sumbang mahram, keganasan rumah tangga, seks luar, menunjukkan penurunan kita perlu sentiasa berwaspada.

Jenayah berlaku disebabkan wanita lemah dari fizikal, selain gemar memakai barang kemas, takut dan mudah percaya pada orang lain.


PENERIMA Anugerah Iron Lady, Suraya (kiri) dan Noor Ilyana. - Foto Saddam Yusoff

Sementara itu, penerima Anugerah Iron Lady, Asisten Superintendan Noor Ilyana Shaffaee, 38, berkata wanita dan kanak-kanak perlu belajar mempertahankan diri untuk mengelak jenayah.

"Ketika berkhidmat di Kuching, Sarawak, saya banyak terbabit dalam program pencegahan jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak yang memberi penekanan terhadap teori dan praktikal mencegah jenayah.

"Kita boleh menggunakan teknik mudah seperti payung, kunci dan menghembuskan nafas tepat pada mata penjenayah untuk mempertahankan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Sosial Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Sabah, Datin Suraya Haroun, berkata beliau mula aktif dalam pertubuhan itu sejak berusia 17 tahun kerana bapanya pegawai polis.

"Pembabitan saya lebih 30 tahun ini dan inilah khidmat saya untuk masyarakat dalam usaha membantu membanteras jenayah," katanya.

200 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »