Rabu, 3 Januari 2018 | 4:09pm
KETUA Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Suriani Ahmad.. - Foto Osman Adnan

Fokus 5 kluster perkasakan wanita 2018

PUTRAJAYA: Lima kluster selaras dengan Dasar Wanita Negara akan menjadi fokus kepada usaha pemerkasaan wanita pada tahun ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Suriani Ahmad.

Kluster itu ialah Kluster Wanita dan Kesihatan (Gaya Hidup, Kecantikan dan Sukan); Kluster Wanita dan Keselamatan; Kluster Wanita dan Ekonomi; Kluster Wanita dan Pendidikan (Latihan dan Pembangunan Kapasiti) dan Kluster Wanita dan Budaya (Kesenian dan Media).

Beliau berkata, kementerian itu komited melalui Tahun Memperkasa Wanita 2018, wanita memperoleh peluang dalam semua bidang dan tiada lagi yang ketinggalan.

"Kementerian meletakkan sasaran yang jelas dalam Tahun Memperkasa Wanita 2018 bagi memastikan wanita memperoleh segala peluang untuk mendapat pendidikan, dipromosikan dan bekerja," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program-program sempena Tahun Memperkasa Wanita 2018, di sini hari ini.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media sempena mesyuarat hari ini, kementerian itu berkata, dianggarkan 345 cadangan program dikumpul dan direkodkan melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dalam usaha memperkasa wanita di peringkat global.

Suriani berkata, matlamat program pemerkasaan wanita itu juga adalah untuk menyediakan wanita negara ini dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

BERNAMA

1621 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »