Selasa, 3 Oktober 2017 | 3:05pm
Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor beramah mesra betgambar bersama peserta yang hadir pada program Ceramah Maal Hijrah sempena Awal Muharram 1439H di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, Taman Tun Dr Ismail. Turut hadir, Setiausaha Kehormat BAKTI, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah (tujuh dari kanan). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Majikan digesa sediakan Taska

KUALA LUMPUR: Majikan terutama sektor swasta perlu menyediakan lebih banyak kemudahan pusat penjagaan kanak-kanak (Taska) di tempat kerja bagi menyokong wanita berkerjaya.

Saranan berkenaan bukan saja membantu mereka lebih fokus di tempat kerja tetapi menghormati hak wanita sebagai pekerja.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, berkata penyediaan Taska bukan saja membantu meringankan beban ibu berkerjaya menguruskan keluarga tetapi mampu meningkatkan kualiti hidup dan kerjaya mereka.

"Saya pernah bekerja dan tahu bagaimana masalah dihadapi ibu berkerjaya terutama apabila ada anak yang sakit kerana separuh hati pastinya di rumah dan terhadap anak.


Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor beramah mesra bersama peserta pada program Ceramah Maal Hijrah sempena Awal Muharram 1439H di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, Taman Tun Dr Ismail. Turut hadir, Setiausaha Kehormat BAKTI, Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah (empat dari kanan). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

"Kalau ada Taska di tempat kerja kita akan dapat memberikan sepenuh perhatian dan tumpuan kepada kerja," katanya selepas mendengar ceramah Maal Hijrah 1439 anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) di Bangunan BAKTI Siti Hasmah, di sini hari ini.

Ceramah bertajuk "Ke Manakah Arah Wanitaku" disampaikan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Asmak Husin.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Puan Sri Rohani Abdullah dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Taman Permata, Datin Rohani Jamaluddin.

Rosmah yang juga Yang Dipertua BAKTI berkata, beliau pernah menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan disambut baik cadangan itu kerana pekerja wanita menyumbang kepada ekonomi negara.

"Penting sediakan suasana kerja yang tenang supaya ibu berkerjaya boleh berikan sepenuh perhatian kepada kerja dan dalam masa yang sama tahu keselamatan anak-anak tetap terjamin.

"Kami di BAKTI turut memperjuangkan perkara seperti ini demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

768 dibaca
Berita Harian X