Sabtu, 30 September 2017 | 5:56pm
Datuk Dr Imi Sairi bergambar bersama orang ramai pada majlis hebahan mengenai program 'Pink Walk 2017' di Dewan Tengku Mahmud, Maktab Sultan Ismail (SIC) di Kota Bharu, sebentar tadi. - Foto Zaman Huri Isa

Lewat dapatkan rawatan kanser payudara

KOTA BHARU: Kebanyakan wanita yang menghidap penyakit kanser payudara hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit itu sudah berada pada tahap empat dan tidak mampu diselamatkan.

Ini menunjukkan kesedaran mendapatkan rawatan awal ketika pembunuh nombor satu wanita itu pada tahap satu dan dua di peringkat awal masih rendah berikutan rasa malu atau takut.

Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi, berkata sebanyak 54 peratus pesakit kanser payudara datang mendapatkan rawatan ketika kanser itu sudah berada pada tahap empat.

"Apabila sudah pada tahap tiga atau empat, hanya 16 peratus yang mampu hidup sehingga lima tahun manakala paling singkat adalah enam bulan.

"Pada tahap itu, sudah tiada rawatan yang boleh dilakukan dan apa yang boleh kita bantu hanyalah memberikan rawatan sokongan sahaja," katanya selepas merasmikan majlis hebahan mengenai program 'Pink Walk 2017' di Dewan Tengku Mahmud, Maktab Sultan Ismail (SIC) di sini, sebentar tadi.

Program 'Pink Walk 2017' yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Persatuan HOSPIS Kelantan dan BestARI Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) akan berlangsung di Padang SIC, pada 21 Oktober ini.

Dr Imi Sairi berkata, purata umur pesakit kanser payudara adalah dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun, namun lebih mengejutkan apabila terdapat seorang pesakit termuda berusia enam tahun sudah menghidap penyakit itu.

Katanya, kanak-kanak yang kini berusia 12 tahun itu menghidap kanser payudara disebabkan genetik dan pesakit itu kembali pulih namun masih mendapatkan rawatan susulan.

Berdasarkan rekod di HRPZ II bermula 2007 hingga 2011, seramai 5,000 pesakit kanser payudara didaftarkan dan secara purata dianggarkan 100 hingga 120 orang didaftarkan setahun.

743 dibaca
Berita Harian X