Sabtu, 2 September 2017 | 9:00am
ROZAINAH bersedia mecurahkan bakti kepada masyarakat dengan kepakaran dan pengalamannya dalam bidang kejururawatan. - Foto Amirudin Sahib

Rozainah abdi diri bantu masyarakat

KUALA LUMPUR: Pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kejururawatan membuka hati pensyarah Fakulti Perubatan Sains Kejururawatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Rozainah Mat Yusoff mengabdikan diri membuat kerja kebajikan untuk masyarakat.

Kepakaran Rozainah dimanfaatkan sepenuhnya menerusi kerja amal dan kebajikan, lantaran menyedari khidmat jururawat amat diperlukan dan mendapat permintaan tinggi masyarakat.

Justeru, Rozainah menubuhkan Persatuan Sukarelawan Jururawat Malaysia pada Jun lalu bertujuan menaikkan imej jururawat dan mengubah status mereka di mata masyarakat.

Katanya, selama ini ramai yang salah anggap dan memandang rendah kerjaya jururawat sedangkan mereka mempunyai peranan penting menyelamatkan nyawa pesakit.

"Persatuan sukarelawan ini dianggotai sepenuhnya oleh ahli yang pakar dalam bidang itu. Saya pernah jadi sukarelawan selama tujuh tahun di St John Ambulans Malaysia.

"Dengan pengalaman dan kepakaran dalam bidang ini, saya mahu curahkan kepada masyarakat. Saya lihat khidmat dan kepakaran bidang kejururawatan sentiasa diperlukan," katanya kepada BH.

Rozainah berkata, tidak ramai yang mahu menjadi sukarelawan dalam bidang kejururawatan sekiranya mereka bukan pekerja di hospital atau pusat kesihatan.

Mungkin juga jika ada yang berminat tetapi tidak mengetahui saluran tepat bagi menyumbangkan bakat dan kemahiran mereka.

"Jadi penubuhan Pertubuhan Sukarelawan Jururawat Malaysia ini dilihat amat tepat dan kena dengan masanya untuk meningkatkan pembabitan jururawat dalam kerja sukarela dan kebajikan," katanya.

Rozainah berkata, beliau menyertai St John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan pada 2010, bermula sebagai Pegawai Tulus Wilayah.

Ketika itu, beliau tanggungjawabnya pada masa itu sebagai tenaga pengajar kepada ahlinya, pelajar sekolah dan orang dewasa yang menyertai pertubuhan itu secara sukarela.

Beliau menggunakan masa hujung minggu yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga dimanfaatkan sepenuhnya bersama St John Ambulans untuk mengajar ahli kaedah melakukan rawatan asas jika berhadapan dengan kemalangan atau saat kecemasan.

"Di sini peranan kami sebagai jururawat berpengalaman memberi latihan seperti merawat kecederaan dan sebagainya. Rawatan awal boleh membantu menyelamatkan nyawa ," katanya.

Kini, Rozainah dilantik sebagai Pegawai Perawatan Negeri di St John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan yang bertanggung jawab menggubal dan menetapkan silibus perawatan rumah (home nursing).

Beliau juga bertanggungjawab mengendalikan kursus dan latihan kepada ahli serta pegawai lain termasuk profesional seperti jurutera, arkitek dan peguam yang menyertai St John Ambulans secara sukarela.

Jasa dan sumbangan yang dicurahkan Rozainah mendapat pengiktirafan apabila baru-baru ini dianugerahkan dengan Pingat Jasa Terpuji oleh St John Ambulans Malaysia.

Profil:

Rozainah Mat Yusoff

Asal: Kota Bharu, Kelantan

Suami: Rushdi Hasam Mudi

Anak: 4 orang

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dengan Kepujian (Universiti Kebangsaan Malaysia)

Ijazah Sarjana Sains Kejururawatan (Universiti Malaya)

Keanggotaan:

Presiden dan Pengasas Persatuan Sukarelawan Jururawat Malaysia

Pegawai Perawatan Negeri St. John Ambulans Malaysia Wilayah Persekutuan

Ahli Persatuan Penyakit Berjangkit Malaysia

Ahli Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia

Anugerah:

Pingat Jasa Terpuji St John Ambulans Malaysia

866 dibaca
Berita Harian X