Sabtu, 29 Julai 2017 | 12:05am
PRESIDEN Rotary Club of Pudu, Datuk Muslim Ayob (dua dari kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM16,000 kepada Ramani (tiga dari kiri) pada Majlis Penyerahan cek dan lawatan ke Pusat Latihan Vokasional JWCA, Kuala Lumpur.
DATUK Ramani Gurusamy. - Foto Saifullizan Tamadi

4 dekad Ramani berjuang bela hak wanita

KUALA LUMPUR: Pengalaman lebih empat dekad berjuang dan membela hak golongan hawa menjadikan Datuk Ramani Gurusamy antara pemimpin induk di belakang tabir bagi meningkatkan memartabatkan wanita di negara ini.

Penyertaan Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) itu, bagi memperjuangkan isu kewanitaan dan status golongan terbabit tidak sia-sia apabila sebilangannya berjaya dicapai.

Ramani berkata, antara usaha awal beliau ialah menumpukan kerja sukarelawan bagi menyediakan modul bagi melatih guru Taska di kawasan pedalaman untuk menaik taraf tahap pendidikan dan kemahiran.

Beliau juga bersama-sama menuntut kesaksamaan gaji dalam kalangan wanita, membantu wanita India terpinggir dengan mendaftarkan perkahwinan terhadap 300 pasangan dan kempen kesedaran menerusi MenCare Project terhadap penghidap kanser payudara.

"Kempen itu mendapat maklum balas baik sehingga Malaysia diiktiraf negara pertama di Asia membabitkan penyertaan lelaki sebagai tanda sokongan terhadap penghidap payudara.

"Dulu ramai penghidap kanser payudara menjadi mangsa pengabaian suami dan ada yang ditinggalkan. Kempen itu memberi harapan baharu pada wanita (isteri) yang bertarung dengan penyakit itu," katanya kepada BH.

Ramani pernah jadi mangsa diskriminasi

Ramani berkata, dulu wanita hebat berjuang dan tidak wujud istilah kecundang, mahupun unsur feminisme, sebaliknya lebih tertumpu kepada pergerakan sosial sebagai perjuangan utama mereka.

Pada sekitar tahun 1960-an, beliau melihat keperluan untuk menuntut hak sama rata berikutan diskriminasi terhadap wanita terlalu hebat.

"Saya sendiri adalah mangsa diskriminasi apabila tugas sebagai guru sepenuh masa bertukar menjadi separuh masa sebaik saja memegang status isteri.

"Ketika itu rata-rata masyarakat menganggap tugas hakiki adalah dalam kalangan lelaki dan perlu mencari nafkah buat keluarga, " katanya

Wanita perlu bijak

Beliau juga berjaya membangunkan pusat krisis bagi mangsa rogol dan keganasan rumah tangga, selain menyumbang idea untuk penggubalan undang-undang terhadap diskriminasi gender.

Wanita perlu bijak bertindak dan lantang bersuara agar memberi impak pada perubahan sesuatu agenda wanita yang diperjuangkan.

"Jangan rendahkan martabat wanita dengan suara lantang yang tiada membawa apa-apa keputusan. Sebaiknya, duduk semeja dengan lelaki budiman ini dan bentangkan agenda adalah lebih berkesan sungguhpun pada mulanya mungkin dipandang rendah," katanya.

Antara pengorbanan besar yang beliau lakukan ialah bersara awal sebagai guru bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap NCWO, demi memajukan wanita negara ini.

Perjuangan belum selesai

Namun, masih banyak perkara yang perlu dilakukan dalam usaha memartabatkan wanita untuk memastikan mereka terus menjadi penyumbang kepada ekonomi dan kestabilan negara.

"Perjuangan ini masih belum selesai. Jika masih ada kesempatan, saya mahu perjuangkan cuti khas untuk ibu bapa yang menghadapi krisis keluarga. Jika keluarga bermasalah seperti anak sakit, ibu yang banyak berkorban mengambil cuti. Bapa juga perlu diberi cuti supaya kedua-duanya adil dalam memainkan peranan dalam institusi keluarga.

Kewibawaan Ramani sebagai pemimpin wanita memang terserlah dan melayakkan beliau memegang pelbagai jawatan seperti Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Naib Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) serta aktif di dalam Kesatuan Kebangsaan Guru-guru (NUT).

Terdahulu, Ramani adalah Setiausaha Agung Kehormat NCWO selama 21 tahun, iaitu rekod paling lama pernah disandang oleh sukarelawan wanita di dalam persatuan itu.

Profil:

Datuk Ramani Gurusamy

Umur: 77 tahun

Asal: Singapura dan membesar di Petaling Jaya, Selangor

Pendidikan : Maktab Perguruan Kuala Lumpur

Pencapaian:

- Anugerah 'Ibu Idolaku' dari Avon Malaysia pada 2005

- Anugerah 'Icon for Women and Comunity Work' dari British India pada 2008

- Tersenarai antara 10 wanita di dalam artikel sempena sambutan Kemerdekaan yang ke-50

180 dibaca
Berita Harian X