Sabtu, 22 Julai 2017 | 10:13am
MAZIIANA ketika menjadi sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) Mercy Kitchen di Kuala Krai, Kelantan. - Foto ihsan pembaca

Jiwa sukarelawan sebati dalam jiwa

KUALA LUMPUR: Pembabitan generasi muda dalam kerja kesukarelawan membabitkan pelbagai bidang sehingga merentasi sempadan negara bukan semua orang boleh lakukan.

Berbeza dengan sukarelawan kemanusiaan, Maziiana Mohd Azhari,35, jiwa dan semangatnya amat ampuh untuk menabur bakti membantu golongan susah, melarat dengan membuat kerja amal di dalam dan luar negara.

Ikon Wanita (belia) Tanjung Karang, Selangor ini, aktif sejak beberapa tahun lalu menerusi aktiviti kemanusiaan sehingga mengasaskan kelab sukarelawan dinamakan ' Born To Help', sejak tahun lalu.

Kelab itu dianggotai lebih 20 sukarelawan terdiri daripada rakan terdekat.

Setakat ini, antara aktiviti dijalankan membersihkan kandang haiwan, mengutip sampah di pantai, singgah sahur, dekorasi asnaf bersama Lembaga Zakat Selangor, agihan kerusi roda asnaf, sumbangan pakej makanan, selain turut menyasarkan golongan ibu tunggal, anak HIV dan warga emas.

Minat sejak kecil

Pernah bekerja sebagai penulis skrip sepenuh masa, Maziiana berkata, sejak kecil lagi beliau sudah menunjukkan minat dalam bidang kemanusiaan sebagai memenuhi impian melihat masyarakat dunia yang kurang bernasib baik terbela nasibnya.

"Pembabitan selama enam tahun dalam bidang kemanusiaan ini memberi pendedahan dan pengalaman cukup besar kepada saya apabila melihat sendiri kesengsaraan masyarakat yang berlaku dalam serta luar negara.

"Peluang merantau di beberapa negara dan menguruskan aktiviti kemanusiaan membuatkan saya terbuka hati membela nasib golongan susah," katanya.

Dalam pada mengendalikan kelab sukarelawannya, beliau juga turut bertugas sepenuh masa mengendalikan aktiviti media dan projek kemanusiaan di badan bukan kerajaan (NGO), Al-I'tisam Relief Program.

Antara projek pernah disertai adalah di Kemboja yang tertumpu pada masyarakat Islam di beberapa daerah pedalaman dengan memfokuskan kepada kemahiran daripada sudut ekonomi.

Selama empat tahun siri penjelajahan di negara itu, beliau anjurkan bengkel jahitan dan menubuhkan pusat mini komputer.

"Kini projek ini masih berterusan dan saya sentiasa memantau untuk menghasilkan perubahan terhadap masyarakat. Saya mahu mereka berdikari dengan ilmu yang kami curahkan," katanya.

Jelajah kemanusiaan


MAZIIANA ketika misi bantuan di Gaza. - Foto ihsan pembaca

Usaha berterusan ini terus membawa beliau ke Palestin di Semenanjung Utara Gaza dalam usaha meneruskan projek kemanusiaan di sana.

"Projek kemanusiaan di negara ini lebih tertumpu pada program anak yatim syuhada, bantuan pemulihan rumah, pembinaan masjid dan bantuan diperlukan sejak beberapa tahun lalu.

"Walaupun kini peluang untuk masuk kembali ke negara berkenaan amat sukar, namun projek yang ada itu tetap diteruskan terutama pengurusan anak-anak yatim syuhada ini," katanya.

Di sana, beliau menguruskan 300 anak syuhada yang berada di Semenanjung utara Gaza, Al-Quds dan Syria yang ketika ini masih bersama waris masing-masing untuk mendapatkan penajaan sara hidup daripada kalangan masyarakat seperti Malaysia, Brunei dan Singapura.

Bantu kumpul sukarelawan


MAZIIANA ketika misi bantuan di Indonesia.

Di negara ini, beliau tidak lelah menguruskan kerja amal bersama asnaf seperti aktiviti bersama anak yatim, warga emas dan gelandangan.

"Di negara ini, saya bertindak sebagai penghubung sukarelawan. Saya akan mengumpulkan seberapa ramai sukarelawan dari pelbagai lapisan untuk bersama menyertai aktiviti di jalankan," katanya.

"Saya amat bersyukur dengan peluang yang Allah berikan untuk berbakti pada masyarakat dunia.

"Kehidupan seharian saya sentiasa di penuhi dengan aktiviti amal dalam dan luar negara serta sentiasa memberi ruang golongan belia untuk bersamanya memikul amanah ini.

"Mereka adalah pelapis yang akan meneruskan perjuangan terdahulu untuk membantu golongan memerlukan.

Profil

Nama: Maziiana Mohd Azhari

Asal: Tanjung Karang, Kuala Selangor

Adik-beradik: Anak ke 4 daripada 5 beradik

Pendidikan: Sijil Kesetiausahaan Kolej Inpens Selangor

: Diploma Seni Persembahan (Pengarahan Filem, UiTM, Shah Alam)

: Ijazah Sarjana Muda Pengarahan Filem, UiTM

Pencapaian: Ikon Wanita (Belia) 2017 Tanjung Karang anjuran Belia 4B Tanjung Karang

273 dibaca
Berita Harian X