Selasa, 2 Oktober 2018 | 7:57pm

Bantu biaya pesakit hati rosak

AMPANG: Pertemuan 30 pesakit hati rosak atau nama saintifiknya Biliary Atresia (BA) yang berjaya menjalani prosedur pemindahan hati memberi keyakinan pesakit lain untuk pulih dan menjalani kehidupan biasa.

BA yang cenderung dihidapi pesakit bayi baru dilahirkan berisiko berhadapan dengan kanser hati sekiranya tidak dirawat awal.

Melihat penderitaan pesakit dan tekanan ibu bapa, Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia (Nadi Permata) mengambil inisiatif membantu mereka menerusi program amal dianjurkan sejak 2014.

Pengerusinya, Marsilayuhaini Baharuddin, berkata kewangan adalah faktor utama pesakit di negara ini gagal diselamatkan kerana lewat mendapatkan rawatan.

“Rawatan pemindahan hati di negara ini bukan tidak boleh dirawat tetapi kosnya agak mahal, justeru kami mengambil inisiatif mencari sendiri tempat rawatan di luar negara sejak 2014 yang lebih baik dan murah untuk membantu ibu bapa pesakit kurang berkemampuan.

“Justeru, kami ke Hospital Renji di Shanghai, China yang memiliki beribu pakar khususnya penyakit hati untuk bekerjasama membantu pesakit di negara ini.


Pertemuan semula keluarga pesakit pemindahan hati bersama-sama delegasi Renji Hospital Shanghai,China anjuran Nadi Pertama di ibu kota.- Foto Amirudin Sahib.

“Sehingga ini, 98 peratus pesakit dibawa mendapatkan rawatan ke Shanghai pulih sepenuhnya dan menjalani kehidupan seperti manusia lain,” katanya ditemui pada majlis Pertemuan Semula Keluarga Pesakit Pemindahan Hati, di ibu negara, baru-baru ini.

Impian beliau hanya mahu kerajaan menyokong usaha pihaknya membawa doktor pakar dari Hospital Renji Shanghai dan menempatkan mereka di sini bagi lebih memudahkan rawatan.

“Usaha ini dapat meningkatkan tahap kepakaran doktor kita, selain menjana ekonomi industri perubatan negara,” katanya.

Ibu, Siti Sarah Othman, 30, berkata anaknya Hana Sofea Abu Salam, setahun enam bulan, dikesan menghidapi BA selepas 40 hari dilahirkan, kehidupannya terus berubah.

“Selepas disahkan doktor Hana menghidapi BA, saya mengambil keputusan untuk mengambil cuti setahun tanpa gaji bagi memberi tumpuan kepada anak.

“Pada mulanya, Hana diberikan rawatan Kasai Prosuder di hospital sini, namun selepas beberapa bulan, sakit semula.

“Dengan bantuan Nadi Permata, Hana di bawa ke Hospital Renji Shanghai dan pembedahan hatinya berjaya dilakukan dan keadaannya kini pulih seperti kanak-kanak lain,” katanya.


Siti Sarah Othman 38 tahun bersama anaknya Sara Sofeo Abu Sulam, 1 tahun ketika pertemuan semula keluarga pesakit pemindahan hati bersama-sama delegasi Renji Hospital Shanghai,China anjuran Nadi Pertama, di De Palam hotel.- foto Amirudin Sahib

Bapa, Nadzrul Fikri Abu Bakar, 30, beliau bersyukur kerana anaknya Nazatul Dhiya Nadzeera, 6, yang menghidapi sama sejak dilahirkan turut menjalani rawatan.

“Pada usia dua bulan, anak saya sahkan doktor menghidapi BA. Sebagai bapa siapa yang tidak sedih melihat anak sendiri yang diuji dengan kesakitan pada usianya masih kecil.

“Anak saya menjalani rawatan Kasai Prosuder di sebuah hospital di negara ini, namun gagal menyembuhkan penyakitnya.

“Tetapi kemudian, anak saya adalah pesakit pertama di bawa oleh Nadi Permata Malaysia ke Hospital Renji Shanghai, pada 2014 dan sihat sepenuhnya hingga hari ini.

“Kini anak saya sudah memasuki prasekolah dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” katanya.


Nazatul Dhiya Nadzeera, 6, bersama ibunya, ketika pertemuan semula keluarga bersama delegasi Renji Hospital Shanghai, China anjuran Nadi Pertama di ibu kota. - Foto Amirudin Sahib.

224 dibaca
Berita Harian X