Rabu, 26 September 2018 | 11:35am
SAIDAH bersama suami dan lima anak pada Aidilfitri, baru-baru ini.
ANAK gemar bermain bedak hingga m

Ibu muda sabar jaga 5 anak kecil

KUALA LUMPUR : Kesibukan tugas di tempat kerja dan sukar mencari pembantu menjaga anak serta menguruskan keluarga antara faktor wanita muda hari ini perlu membuat perancangan jika ingin memiliki anak ramai.

Suri rumah yang juga ibu kepada lima cahaya mata, Saidah Nafisah Amir, 32, berkata tugas mendidik amat mencabar, selain berhadapan kerenah anak kecil memang memenatkan apatah pada awal usia ini mereka begitu aktif.

Anak Saidah, iaitu Ahmad Dani Rafique, sembilan; Puteri Nur Irdina, tujuh; Puteri Nur Raysha; lima; Ahmad Daniyal Rizqi; tiga dan Ahmad Darryl Rafael; satu tahun, memerlukan perhatian sepenuhnya.

“Setiap kali memandang wajah mereka, saya teringatkan perjuangan ibu pada zaman dahulu yang serba kekurangan, namun masih mampu membesarkan anak dengan sempurna.

“Kesungguhan itu memberi inspirasi untuk bergelar ibu dan pendidik dengan sempurna,” katanya yang mesra dengan panggilan Ieda.

Sebelum bergelar isteri, Ieda berkata, beliau tidak terfikir bagaimana susahnya menjadi ibu. Selepas melahirkan anak pertama pada usia 23, beliau masih bekerja dan melakukan aktiviti harian.

“Namun, semua berubah apabila saya melahirkan anak kedua, ketika itu anak kedua sering sakit akibat serangan lelah. Kesihatan yang tidak memuaskan itu menyebabkan saya membuat keputusan berhenti kerja untuk memberi perhatian sepenuhnya menguruskan keluarga.

“Saya juga perlu mengubah gaya hidup dengan berbelanja secara berhemat, selain bijak menguruskan peruntukan diberikan suami,” katanya.

Cabaran didik anak masih kecil

Berkongsi cabaran mendidik anak, Saidah Nafisah berkata, kesukaran dihadapi ibu muda seperti beliau, antaranya kurang berpengalaman dalam soal penjagaan anak dengan sempurna.

Jika seorang anak mungkin kata beliau, tekanannya kurang, namun tiga hingga lima anak yang perlu diberi perhatian, pastinya ramai tidak sanggup menghadapinya tanpa sokongan suami dan ahli keluarga lain. Sememangnya menjadi ibu yang sempurna memang sukar jika tidak ditanamkan sifat keibuan dalam diri.

Beliau berkata, melayan kerenah anak memang mencabar, lebih-lebih lagi ketika masing-masing sedang aktif. Keadaan menjadi lebih mencabar, terutama ketika membawa mereka ke tempat awam atau taman permainan.

Cabaran lain termasuk gangguan kesihatan disebabkan usia mereka masih kecil dan sistem imun badan rendah, sering diserang penyakit, antaranya demam selesema dan batuk.

“Ada masanya kelima-lima anak demam serentak disebabkan jangkitan. Siapa tidak panik, namun saya dan suami bergilir-gilir menjaga dua anak di hospital dan tiga anak di rumah,” katanya yang kini menikmati kepuasan berpeluang mendidik anaknya sepenuh masa.

Tambahnya, tidak semua ibu yang sanggup berhadapan kerenah anak ramai memandangkan generasi muda hari ini lebih mementingkan kerjaya.

“Saya juga tidak terlepas disindir rakan yang tidak suka dengan cara hidup mempunyai anak ramai. Ada yang kata zaman sekarang tidak sama berbanding dahulu.

“Saya bersyukur kerana dapat menyusukan mereka sehingga berusia dua tahun. Apa sahaja yang harungi hari ini adalah pengalaman mematangkan diri dan bertanggungjawab dalam hidup,” katanya yang kini mengusahakan perniagaan makanan dari rumah dengan jenama Didalicious.

2660 dibaca
Berita Harian X