Selasa, 25 September 2018 | 11:57am
SEGENAP lapisan masyarakat Malaysia mengambil bahagian dalam NESTLÉ OMEGA PLUS Walk-A-Mile 2018, acara jalan kaki paling lama untuk kesedaran kesihatan jantung di Malaysia.

Riadah bersama keluarga kekal gaya hidup sihat

KUALA LUMPUR: Masa bersama keluarga antara saat paling sesuai untuk dimanfaatkan dengan melakukan aktiviti fizikal secara santai bertujuan mengekalkan kecergasan.

Mulakan langkah pertama dengan hanya berjalan kaki sebagai sebahagian pengisian yang lebih menyihatkan ketika menghabiskan masa berharga bersama mereka.

Walaupun aktiviti ini nampak mudah, namun tidak ramai sedar kebaikannya dalam usaha mudah anda mengekalkan kesihatan jantung. Tanpa kita sedari aktiviti sedemikian juga memupuk amalan gaya hidup lebih sihat.

Pengerusi Yayasan Jantung Malaysia (YJM), Datuk Dr JS Sambhi, berkata untuk mengekalkan kecergasan tidak sukar, malah murah serta boleh dilakukan semua kategori masyarakat.


NESTLÉ OMEGA PLUS Walk-A-Mile 2018 menyaksikan penyertaan 4,000 rakyat Malaysia, jumlah peserta terbesar untuk acara ini sepanjang 17 tahun penganjuran.

Katanya, set minda anda, cari masa beriadah dan lakunya secara santai, pastinya aktiviti bersama keluarga ini lebih menggembirakan.

Beliau berkata, umum sering memberi alasan terikat dengan kegiatan harian termasuk kesibukan di tempat kerja dan menguruskan rumah pada hujung minggu sebagai alasan tidak beriadah.

“Perkara lebih penting hentikan amalan buruk seperti merokok, elak minuman keras dan hindari makanan tidak seimbang.

“Ketidakseimbangan itu antara faktor membawa masalah kesihatan lebih serius terutama gangguan kesihatan kardiovaskular, berat badan berlebihan atau obesiti serta tekanan darah tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada acara jalan kaki Walk-A-Mile, anjurna NESTLÉ OMEGA PLUS di Taman Tasik di sini, kelmarin.

Program sempena Hari Jantung Sedunia disertai 4,000 peserta, penyertaan paling ramai dicatatkan sejak 17 tahun penganjurannya.

Majlis disempurnakan dengan kehadiran Presiden YJM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Naib Presidennya , Tan Sri Kamaruzzaman Shariff. Hadir sama Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan MILO dan Susu, Nestlé Malaysia, Kumaran Nowuram.

Pada majlis berkenaan juga, penganjur menyerahkan wang kutipan daripada peserta berjumlah RM30,000 kepada YJM.

Mengulas mengenai gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda, Dr Sambhi berkata, masalah obesiti dalam kalangan generasi muda meningkat berbanding 30 tahun lalu.


PARA peserta mengikut rentak Hearty Steps, rutin senaman mudah untuk kesihatan jantung pada acara NESTLÉ OMEGA PLUS Walk-A-Mile 2018.

Kesannya beliau berkata, kandungan kolesterol dalam darah meningkat membawa risiko pelbagai penyakit bahaya.

Jika sebelum ini katanya, penyakit berkaitan jantung hanya membabitkan golongan pertengahan usia, namun serangan sama menyerang individu berusia seawal 20 tahun.

“Umum masih percaya kolesterol tinggi hanya menjejaskan kumpulan individu tertentu sahaja. Namun pada hakikatnya, setiap orang tidak kira umur, jantina, berat badan dan latar belakang sosial berdepan risiko kolesterol tinggi.

“Disebabkan gaya hidup semakin pantas, tabiat pemakanan kurang sihat serta senaman tidak mencukupi, rakyat Malaysia wajar bersikap proaktif dalam menjaga kesihatan jantung dengan lebih serius,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Sarji berkata, selama 36 tahun, pihaknya menerajui usaha meningkatkan kesedaran kepada umum mengenai kepentingan menjaga kesihatan jantung sebagai asas kesejahteraan hidup.

Beliau berkata, pihaknya perlu melipatgandakan usaha, memandangkan hampir separuh daripada rakyat menghidapi kolesterol tinggi berumur 40 tahun ke bawah.

Katanya, YJM menyasarkan golongan muda untuk meningkatkan kesedaran kepentingan pengurusan kolesterol ke arah kesihatan jantung yang lebih sempurna.

“Sebagai golongan paling produktif dalam masyarakat, anak muda perlu memberikan tumpuan khas kepada kesihatan jantung kerana gaya hidup kurang sihat hari ini lambat laun memberikan impak negatif.

“Penyakit jantung mampu dicegah dan kami menegaskan kepentingan pemeriksaan kolesterol berkala dan pelbagai pemeriksaan saringan jantung yang lain sebagai langkah pertama penjagaan kesihatan menyeluruh,” katanya.

Fakta:

* Serangan jantung pembunuh nombor satu dalam kalangan orang dewasa, menyebabkan 13.2 peratus kematian pada 2016 .

* Kolesterol tinggi, penyebab utama penyakit jantung, menjejaskan hampir separuh atau 47.7 peratus rakyat Malaysia dewasa.

* Empat daripada lima rakyat Malaysia menghidapi kolesterol tinggi tidak menyedari status mereka.

Pengisian Walk-A-Mile

* Pemeriksaan kolesterol dalam darah

* Taklimat risiko kolesterol tinggi dalam darah

* Pemeriksaan jantung Hearty Checks

* Taklimat kesihatan jantung

* Panduan senaman ringkas “Hearty Steps”

* Panduan pengambilan minuman sihat untuk jantung “Hearty Boost”.

181 dibaca
Berita Harian X