Isnin, 24 September 2018 | 1:43pm
PANEL persidangan ‘Wanita Harapan Negara’ sempena Hari Wanita Kebangsaan 2018 di PICC, Putrajaya, baru-baru ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Syor akta khas kes gangguan seksual

PUTRAJAYA: Negara memerlukan akta khas berkaitan gangguan seksual yang lebih kukuh bagi memastikan pesalah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman setimpal.

Langkah itu bagi menambah baik undang-undang sedia ada yang agak ‘longgar’ dan menyebabkan individu dituduh sukar disabitkan kesalahan.

Peruntukan sedia ada juga tidak menyentuh secara langsung isu gangguan seksual tetapi lebih bersifat umum berkenaan jenayah. Akta Gangguan Seksual hanya membabitkan isu berkenaan di tempat kerja khususnya di sektor awam.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang, Ramkarpal Singh, berkata Kod Amalan Gangguan Seksual disediakan Kementerian Sumber Manusia bagi menangani masalah itu di sektor awam, tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang.

Beliau berkata, jika ada kuasa undang-undang mengikut Akta Pekerjaan, hanya terhad kepada sektor swasta.


SEBAHAGIAN dari hadirin yang hadir di sesi persidangan ‘Wanita Harapan Negara’ sempena Hari Wanita Kebangsaan 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Mohd Fadli Hamzah

“Masalah utama kita adalah tidak mempunyai definisi gangguan seksual yang jelas. Sebagai contoh, pekerja wanita melaporkan kepada orang atasan mengalami gangguan seksual yang teruk di tempat kerja.

“Kemudian satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan dan mendapati tiada keterangan kukuh membuktikan berlaku gangguan seksual berkaitan kes dilaporkan,” katanya.

Ramkarpal berkata demikian pada Persidangan ‘Wanita Harapan Negara’ sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018 di sini, baru-baru ini.

Persidangan itu turut menampilkan tujuh panel lain yang terdiri daripada ahli akademik, mangsa keganasan, pelajar yang mewakili generasi muda untuk berkongsi pengalaman dan perjuangan mereka sebagai wanita dalam kehidupan.

Akta khas lindungi mangsa

Menerusi topik ‘Gangguan Seksual Melalui Perspektif Undang-Undang’, beliau menegaskan, definisi khas mengenai gangguan seksual perlu ditetapkan bagi mengelakkan kekeliruan atau percanggahan pendapat dalam menangani isu berkenaan.

“Kita perlu memperkenalkan badan undang-undang seperti Akta Gangguan Seksual seperti di Singapura yang mempunyai akta untuk memberi perlindungan kepada mangsa meliputi semua tempat tanpa terhad di tempat kerja.

“Bagaimana sekiranya bekas teman lelaki mengganggu bekas teman wanitanya? Ia tidak tertakluk kepada Akta Pekerjaan atau Kod Amalan Gangguan Seksual, jadi bagaimana tindakan perlu diambil?” katanya.


RAMKARPAL Singh ketika sesi persidangan di PICC. - Foto Foto Mohd Fadli Hamzah

Katanya, banyak perkara perlu diambil kira termasuk keperluan perlindungan segera kepada mangsa, sebagaimana Perintah Perlindungan Interim yang diberikan kepada wanita mangsa keganasan rumah tangga.

Stigma masyarakat terhadap mangsa gangguan seksual yang negatif, menyebabkan mangsa enggan membuat laporan.

Undang-undang diperlukan untuk melindungi identiti mangsa selain membuka ruang mereka tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata kerajaan memandang serius isu kerana gangguan seksual berpotensi berlaku di mana sahaja sama ada di sektor awam, swasta dan tempat awam tanpa mengira usia.

“Pada 2015 sehingga tahun lalu, seramai 47 penjawat awam dikenakan hukuman tatatertib atas kesalahan gangguan seksual.

“Manakala di sektor swasta pula, 60 kes dilaporkan dikenakan hukuman tatatertib pada tempoh sama dan kita percaya banyak lagi kes tidak dilaporkan.

“Contohnya, baru-baru ini, ada dilaporkan kes gangguan seksual yang membabitkan ketua jabatan sebuah hospital,” katanya.


NOR Ainin Azman ketika sesi persidangan di PICC.

Beliau berkata, kementerian sedang mengkaji bagaimana untuk memperbaiki peraturan sedia ada bagi membantu dan memudahkan mangsa melaporkan gangguan seksual.

Hukuman setimpal

“Badan siasatan bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes ini, sedang mengkaji keperluan mewujudkan akta khusus menangani gangguan seksual.

“Kajian membabitkan pelbagai pihak berkepentingan membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam yang mana wakil dalam jawatankuasa akan memastikan mangsa terbela dan hukuman setimpal dijatuhkan kepada pesalah sekiranya disabitkan dengan tuduhan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Tahun Tiga, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Nor Ainin Azman, berkata di institusi pengajian tinggi (IPT) juga tidak terlepas isu gangguan seksual, selain stigma yang menghalang mereka tampil membuat laporan.

“Di UM, kita mempunyai Biro Aduan Gangguan Seksual tetapi tidak sampai separuh daripada lebih 50 mangsa yang direkodkan sanggup untuk tampil membuat aduan.

“Kita boleh meminta wanita melaporkan gangguan seksual tetapi sekiranya stigma masih menebal, ia sukar dihapuskan,” katanya.

Justeru, mewakili generasi muda, Nor Ainin berharap masalah berkaitan stigma perlu ditangani dengan meningkatkan kesedaran dan perundangan yang tegas.

151 dibaca
Berita Harian X