Ahad, 16 September 2018 | 2:40pm

Pangkalan data ibu dan anak susuan

KUALA LUMPUR: Kelab Sokongan Penyusuan Susu Ibu Johor Bahru (KSPSIJB) mewujudkan pangkalan data ibu dan anak susuan bagi menjaga keturunan untuk mengelak kekeliruan hingga berlaku perkahwinan dalam kalangan adik-beradik susuan.

Kaunselor Laktasi Bertauliah, Kelab Sokongan Penyusuan Susu Ibu Johor Bahru (KSPSIJB), Farhana Ahmad Abdul Garni, berkata sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan pangkalan data semua ahlinya.

Katanya, ibu susuan dan keluarga bayi disusu juga bertanggungjawab menyimpan maklumat, selain salinan dokumen penting, antaranya surat beranak bayi dan kad pengenalan ibu dan bapa.

“Kedua-dua pihak, ibu yang ingin memberi stok susu atau menjadi ibu susuan dan ibu atau keluarga yang mahu mencari ibu susuan perlu mengisi borang disediakan dalam talian.

“Kami cuba mencari persamaan dengan menghubungi ibu susuan dan keluarga anak susuan untuk mencapai kata sepakat,” katanya.

Farhana berkata, ibu susuan dan keluarga bayi digalak kerap bertemu dan berhubung antara satu sama lain supaya tidak terputus hubungan, selain mengeratkan silaturahim.

Beliau mengaku, meskipun ramai ibu terbuka menjadi ibu susuan dengan memberikan susu badan mereka kepada bayi yang memerlukan, namun tidak ramai sanggup anaknya diberi susu orang lain.

Hanya ibu yang terdesak katanya, sanggup mencari wanita lain untuk memberikan anaknya susu badan wanita lain. Namun, sebelum menjadi atau mencari ibu susuan, kedua-dua pihak perlu dapat keizinan suami masing-masing.

“Proses itu lazimnya sukar kerana suami tiada maklumat dan kurang kefahaman mengenai kepentingan memberi susu ibu. Hal ini menyebabkan bapa sering tidak bersetuju,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ibu juga perlu mengetahui tahap kesihatan sebelum mengambil keputusan menjadi ibu susuan.

Berkongsi pengalaman menjadi ibu susuan, Farhana berkata, enam tahun lalu beliau berdebar-debar kerana bukan mudah seorang wanita dan tidak mengenali pemberi bekalan berkenaan.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana dapat membantu keluarga lain. Bersyukur apabila mengetahui sakit anak susuan saya, Muadz dari Kelantan beransur pulih, selepas mendapat bekalan susu badan.

“Ketika mula menjadi ibu susuan, saya menghantar susu menerusi perkhidmatan bas ekspres ke Kota Bharu. Saya tersentuh dengan kesungguhan ibunya mahukan anaknya diberi susu badan walaupun sukar mendapatkan bekalan,” katanya.

165 dibaca
Berita Harian X