Rabu, 12 September 2018 | 10:12am
ANTARA program bakeri Turki yang akan diajarkan kepada peserta Updiri yang dikendalikan Persatuan Alumni Pusat Pembelajaran Usahawan Bumiputera Maju Malaysia (PPIUB) di Pusat Pemborong D’ Sultanaa, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur di sini.
BIBI Sunita Sakandar Khan.

Updiri atasi kos sara hidup

KUALA LUMPUR: Program latihan sambil bekerja dikenali Updiri secara percuma akan disediakan kepada golongan asnaf yang mendiami projek perumahan rakyat (PPR) menguasai pelbagai bentuk kemahiran baharu bagi menangani kos sara hidup di ibu kota, mulai akhir bulan ini.

Program enam bulan itu disasarkan kepada 100 orang membabitkan ibu tunggal, suri rumah, mualaf, individu asnaf termasuk lelaki untuk mengikuti latihan dalam bidang pengurusan dan perkhidmatan seperti ketrampilan diri, pejabat, pemakanan, pemasaran, jualan dan pentadbiran.

Pengerusi Persatuan Alumni Pusat Pembelajaran Usahawan Bumiputera Maju Malaysia (PPIUB), Bibi Sunita Sakandar Khan, berkata menerusi program itu adalah sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menggalakkan program berbentuk kemahiran kepada golongan memerlukan.

Ketika ini, kerajaan menyatakan hasrat untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, bukan hanya memberikan wang secara percuma menerusi program Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) tetapi menilai keperluan menyalurkannya kepada golongan miskin atau kumpulan lain.

“Jadi program Updiri ini adalah pendekatan membantu masyarakat menangani kos hidup tinggi menerusi peluang pekerjaan dan latihan kemahiran yang diberikan gaji dan elaun sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk hidup berdikari.

“Kita mempelawa mana-mana individu yang memenuhi kriteria ini untuk memohon kerana banyak bidang boleh diceburi antaranya pembuatan kek, pastri, bakeri, masakan Mediatrenian, kebab dan bidang perkhidmatan lain,” katanya ketika dihubungi BH.


KELAS bimbingan masakan yang bakal diajar pada program Updiri yang akan dibuat di Pusat Pemborong D’ Sultanaa, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur di sini..

Katanya, selain diberikan latihan berbentuk kemahiran peserta juga akan diserapkan bekerja selepas menamatkan kursus berikutan syarikat bersetuju memadankan peserta dengan peluang pekerjaan sewajarnya.

“Ini adalah penyelesaian kepada isu BSHR, wang pencen pesara yang dikatakan bakal dimansuhkan, jadi kita memberikan latihan kepada kumpulan penerima bantuan dengan melatih mereka program kemahiran dan keusahawanan.

“Menerusinya, peserta dilatih berdikari dan mempelajari segala aspek sama ada latihan yang membabitkan kemahiran mahupun perkhidmatan dalam sesebuah organisasi yang bakal mereka sertai,” katanya kepada BH.

Program pelancaran itu akan diadakan di Masjid Jamek di Kampung Baharu, pada 30 September ini.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GERAKWANIS), berkata sepanjang tempoh latihan pengangkutan untuk peserta turut disediakan percuma dan mempunyai dua pilihan waktu latihan iaitu 9 pagi hingga 6 petang atau 6 petang hingga 3 pagi.

“Sehingga kini kita mempunyai 30 peserta yang melepasi saringan temu duga. Kita berharap berupaya mempunyai sekurang-kurangnya 30 wakil dari setiap PPR kerana program sebegini sepenuhnya percuma dan banyak pilihan bidang yang ingin diceburi.

“Tiga PPR di Titiwangsa, Setiawangsa dan Wangsa Maju dikenal pasti sebagai perintis untuk permulaan dan mungkin akan diperluaskan ke seluruh wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

Program terbabit akan diadakan di Pusat Pemborong D’ Sultanaa, Jalan Tun Razak, dekat sini.

629 dibaca
Berita Harian X