Jumaat, 7 September 2018 | 3:42pm
RAHMAH bersama ibu tunggal pada majlis meraikan 100 ibu tunggal dan warga emas di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee

PPSEAWA prihatin masalah ibu tunggal

KUALA LUMPUR: Persatuan Wanita Rantau Pasifik dan Asia Tenggara (PPSEAWA) Malaysia akan mengenal pasti keperluan dan masalah membabitkan wanita dan kanak-kanak bagi memastikan kehidupan mereka lebih berkualiti.

Presidennya, Datuk Rahmah Abdul Hamid, berkata sebagai teras memperjuangkan keamanan sejagat, persatuan itu prihatin terhadap masalah ibu tunggal kerana mereka sebahagian insan penting dalam proses pembangunan.

Katanya, pelbagai pengisian program disediakan termasuk baru-baru ini pihaknya meraikan 100 ibu tunggal dan warga emas bagi merapatkan jurang sosial golongan berpendapatan rendah menerusi majlis makan tengah hari dan minum petang.

Acara itu sebagai pendekatan mesra menangani keperluan dan masalah wanita dan kanak-kanak, menaikkan status ibu tunggal, menjaga kebajikan dan melihat peningkatan program kemahiran serta literasi semua kumpulan umur.

“Majlis ini sebagai meraikan mereka sebagai golongan istimewa dengan meluangkan masa berkualiti bersama untuk mengeratkan silaturahim yang terjalin sebelum ini,” katanya ketika pelancaran Bazar Amal PPSEAWA untuk ibu tunggal yang disertai 20 gerai jualan makanan, perkhidmatan dan fesyen dan aksesori di sini, baru-baru ini.

Terdahulu beliau diraikan dengan kejutan majlis sambutan hari lahir ke-86 oleh tetamu dan sekretariat PPSEAWA.

Rahmah berkata, PPSEAWA mempunyai 340 ahli termasuk tokoh politik dan isteri kenamaan adalah pertubuhan bukan kerajaan (yang diasaskan pada 1960 yang pernah dinaungi isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sekitar 1983.

“PPSEAWA Malaysia yang menjadi sebahagian 23 negara anggota PPSEAWA adalah organisasi yang menjadi ahli pengasas kepada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM),” katanya.

137 dibaca
Berita Harian X