Khamis, 17 Mei 2018 | 12:47pm

Tinggal kerjaya demi keluarga

KUALA LUMPUR: Tindakan majikan tidak mesra kakitangan terutama kepada pekerja wanita yang sudah berkeluarga antara faktor utama mereka mengambil keputusan tidak meneruskan hasrat mengembangkan kerjaya dan memberi tumpuan kepada keluarga.

Kajian agensi penyelidikan Monster.com, mendapati peraturan di tempat kerja yang tidak fleksibel langsung tidak menyokong ibu bekerja, antara faktor mendorong mereka berhenti kerja.

Cabaran yang dihadapi wanita bekerjaya di Malaysia, Filipina dan Singapura mendapati 75 peratus daripada mereka meninggalkan pekerjaan disebabkan kekangan berkenaan.

Kajian ke atas 2,600 responden ketiga-tiga negara berkenaan, mendapati kira-kira 60 peratus disebabkan kebimbangan mengenai mutu perkhidmatan penjagaan anak di pusat asuhan sepanjang tempoh mereka menjalankan tugas di pejabat.

Faktor lain yang menyumbang perkara itu disebabkan tidak mendapat sokongan ketua jabatan dan persekitaran di tempat kerja tidak memihak kepada mereka.

Dianggarkan 55 peratus daripada responden mengaku sukar mendapat cuti jika berhadapan dengan masalah penjagaan anak.

Ketua Pegawai Eksekutif Monster Asia Pasifik dan Negara Teluk, Abhijeet Mukherjee, aliran semasa mendapati waktu kerja yang lebih anjal menjadi pilihan wanita berkeluarga.

Beliau berkata, ini bagi memudahkan mereka menguruskan rumah tangga sebelum mereka keluar rumah dan memberi perhatian penuh kepada tugasan di pejabat.

Perkara ini katanya, boleh dibincangkan antara majikan dan kakitangan, pastinya persetujuan bersama memberi peluang lebih ramai tenaga kerja wanita memasuki pasaran bagi merancakkan sektor pekerjaan secara optimum.

Hasil kajian membuktikan bahawa wanita Malaysia berkelulusan dan berkelayakan berada pada paras berdaya saing dalam industri, namun disebabkan kekangan waktu dan persekitaran tidak mesra menyebabkan mereka mengambil berhenti kerja.

"Kajian mendapati 94 peratus wanita terus mencari pekerjaan yang lebih sesuai dan bersifat lebih anjal waktu selepas 12 bulan meletakkan jawatan," katanya.

Abhijeet berkata, seramai 55 peratus responden tanpa berselindung berkongsi emosi bahawa mereka terpaksa berjuang dengan perasaan kerana terpaksa meninggalkan bayi di rumah selepas habis tempoh berpantang untuk ke tempat kerja.

Beliau berkata, hampir separuh (49 peratus) terpaksa kembali ke alam pekerjaan atas alasan kewangan. Sejumlah 47 peratus pula berhadapan masalah mendapatkan perkhidmatan penjagaan bayi yang selesa dan selamat selepas kembali bekerja.

Namun begitu, katanya, hanya 28 peratus begitu selesa kerana majikan menawarkan waktu kerja lebih anjal sebaik selepas melahirkan dan dikurangkan beban tugas kerja.

"Sekitar 12 peratus daripada mereka sungguh bernasib baik kerana majikan menyediakan kemudahan penjagaan bayi dan kanak-kanak di tempat kerja.

"Kemudahan sungguh membantu mereka dalam memberi tumpuan sepenuhnya ketika menjalankan tugas dengan sempurna," katanya.

"Kami mengharapkan kajian sebegini memberi maklumat terkini kepada majikan supaya mereka dapat memperkenalkan mekanisma lebih adil memihak semua pihak dalam menjana ekonomi negara," katanya.

Info:

  • 12 peratus majikan menyediakan bilik untuk ibu mengepam susu badan
  • 20 peratus kakitangan mengusulkan majikan menyediakan peluang kerja pada waktu lebih anjal atau bekerja dari rumah.
  • 10 peratus mencadangkan kemudahan penjagaan bayi di tempat kerja.
  • Proses menguruskan anak 24 jam, tujuh jam sehari memerlukan pengorbanan masa dan emosi ibu bekerja.
  • Kempen waktu anjal kepada wanita bekerjaya dengan slogan #SheMakesItWorks seluruh rantau Asia Pasifik.
651 dibaca
Berita Harian X