Ahad, 13 Mei 2018 | 8:20am
Kafe@Teen yang terletak di UTC Keramat menyediakan pelbagai aktiviti untuk remaja. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Kafe@Teen yang terletak di UTC Keramat menyediakan pelbagai aktiviti untuk remaja. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

kafe@TEEN tangani isu keruntuhan moral remaja

KUALA LUMPUR: Program pendidikan dan pembangunan kemahiran disediakan di 15 Pusat Remaja kafe@TEEN serta dua Pusat Transit kafe@TEEN memberi manfaat kepada kira-kira 476,839 remaja di seluruh negara termasuk menangani pelbagai isu keruntuhan moral.

Kafe@TEEN, dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), turut dikunjungi oleh 30,536 remaja bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan reproduktif manakala 9,902 bagi tujuan perkhidmatan kaunseling remaja.

Kedua-dua program berkenaan dijalankan secara percuma.

Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah, berkata kafe terbabit menitikberatkan tiga perkhidmatan utama iaitu Perkhidmatan Kesihatan Reproduktif Remaja, Perkhidmatan Kaunseling Remaja dan Pendidikan dan Pembangunan Kemahiran.


Aktiviti nyanyian di Kafe@Teen yang terletak di UTC Keramat menyediakan pelbagai aktiviti untuk remaja. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Katanya, sejak tahun lalu kafe@TEEN mengetengahkan empat program inisiatif baharu iaitu Teen2u@PAWE, TeenBIZ, SmartTEEN dan PEKERTI bagi memberikan pendedahan lebih luas kepada remaja.

"Teen2u@PAWE memberi fokus kepada pembentukan nilai murni dan semangat sukarelawan dalam kalangan remaja.

"Dengan kerjasama beberapa rumah kebajikan warga emas, sebanyak 37 program diketengahkan dengan membabitkan penyertaan 2,036 peserta terdiri daripada ahli, sukarelawan dan warga emas," katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini

Abdul Shukur berkata, LPPKN mendapatkan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk memberi pendedahan dan kemahiran berkaitan keusahawanan kepada remaja.

"Program TeenBIZ memberi pendedahan kepada remaja supaya lebih memahami risiko dalam menguruskan kewangan bagi memudahkan mereka membuat keputusan kewangan lebih baik.


Gynmasium di sediakan di Kafe@Teen yang terletak di UTC Keramat menyediakan pelbagai aktiviti untuk remaja. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"SmartTEEN pula memberi pengetahuan dan kemahiran asas mengenai pendidikan literasi kewangan kepada remaja. Sebanyak 10 program dilaksanakan membabitkan 381 remaja," katanya.

Abdul Shukur berkata, program Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) pula memberi pendedahan kepada kumpulan sasaran dalam kalangan remaja berisiko tinggi di tempat perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Objektif program itu adalah untuk memberi kemahiran menghindari dan mengurangkan tingkah laku seksual berisiko mengakibatkan kehamilan tidak dirancang, penyakit jangkitan seksual dan jangkitan HIV.


Kafe@Teen yang terletak di UTC Keramat menyediakan pelbagai aktiviti untuk remaja. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Program itu juga dapat mengukur tahap pengetahuan remaja terhadap kesihatan reproduktif sebelum dan selepas mengikuti program dan aktiviti kafe@TEEN," katanya.

Abdul Shukur berkata, program reproduktif masih dititikberatkan bagi membantu memperkasakan remaja dengan pengetahuan dan kemahiran untuk membuat pilihan bijak berhubung kesihatan reproduktif dan sosial remaja.

Beliau berkata, program itu amat diperlukan untuk membendung gejala sosial dalam kalangan remaja yang kian meningkat seperti seks bebas, rogol, kehamilan luar nikah, penyakit jangkitan seksual, pembuangan bayi, penderaan seksual dan sebagainya.

"Dengan wujudnya kafe@TEEN, remaja mempunyai tempat untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif yang tepat dan berkesan.

"Kafe ini seterusnya membantu remaja yang keliru dari sudut identiti seksual, orientasi seksual dan isu berkaitan menerusi kaunseling," katanya.


Kemudahan internet disediakan di Kafe@Teen yang terletak di UTC Keramat menyediakan pelbagai aktiviti untuk remaja. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

INFO: Kafe@TEEN

  • Pegawai profesional kendalikan tugas.
  • Seramai 81,030 ahli berdaftar berusia 13 hingga 24 tahun.
  • Aktiviti menggunakan pendekatan interaktif.
  • kafe@TEEN memberi ceramah mengenai kesihatan reproduktif untuk remaja dan pelajar di sekolah.
  • Kemudahan kafe@TEEN termasuk perpustakaan mini, internet, gimnasium dan ruang santai.
279 dibaca
Berita Harian X