Ahad, 6 Mei 2018 | 2:37pm

Anak istimewa ada kelebihan


Foto hiasan oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Kuala Lumpur: Ibu bapa boleh mengoptimumkan keupayaan anak istimewa dengan membawa mereka melakukan aktiviti santai yang dapat mengembangkan kreativiti mereka dalam pelbagai kemahiran.

Pendedahan itu bertujuan mengenal pasti keistimewaan mereka mengikuti kesesuaian minat dan aktiviti.

Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Feilina Feisol, berkata anak istimewa seperti autisme mempunyai banyak kelebihan, tetapi sukar dikesan pada peringkat awal.

Katanya, pemerhatian mendapati, mereka ini ramai yang kreatif, terutama dalam menghasilkan produk berasaskan kraf tangan.

"Pelatih autisme di pusat vokasional diberi latihan kreativiti untuk menghasilkan barangan kraf bermutu. Barangan dihasilkan antaranya rantai kunci, klip rambut dan kantung syiling jahitan silang pangkah.

"Pusat latihan terletak di Bandar Puteri, Klang Selangor, menyediakan bimbingan selama empat bulan secara sistematik bagi membolehkan hasilkan kemas dan mempunyai nilai komersial," katanya.

Feilina berkata, pihaknya bangga kerana inisiatif anak istimewa ini mendapat penghargaan syarikat farmasi terkemuka CCM Duopharma Biotech Bhd (CCM Duopharma) dengan membeli semua 50,000 unit dengan nilai RM125,000.


PENGARAH Urusan Kumpulan CCM Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar (tiga dari kiri) menyampaikan cek RM125,000 kepada Pengerusi NASOM, Feilina Feisol. - Foto Liza Abdullah

Katanya, pembelian sempena Kempen Kesedaran Autisme Champs-NASOM 2018 sepanjang bulan lalu hingga Mei ini. Sokongan berterusan sejak tiga tahun lalu menyuntik semangat anak autisme dan guru untuk terus menghasilkan produk berkualiti.

"CCM Duopharma komited memberi semangat kepada komuniti autisme supaya mereka lebih berdikari dan menjalani hidup secara produktif.

"Kumpulan autisme di Malaysia bukan sahaja memerlukan kasih sayang dan sokongan, mereka seharusnya dihormati supaya dapat menjalani hidup secara normal.

Diharapkan kempen CCM Duopharma menyemarakkan harapan mereka menjadi anggota masyarakat berguna," katanya.


FEILINA Feisol menyerahkan cenderahati kepada Leonard Ariff Abdul Shatar. - Foto Liza Abdullah

Selain membantu mengenal pasti dan mempromosikan rawatan, pendidikan, kebajikan dan penerimaan untuk golongan autisme, NASOM memberi bantuan dan nasihat kepada keluarga anak autisme.

NASOM mempunyai 20 pusat di seluruh negara menyokong pelajar seawal usia se sehingga berumur 36 tahun.

"Membuat kraf tangan menjadi aktiviti utama pelatih di sini. Bimbingan guru membantu memaksimumkan kemahiran motor mereka selain mengisi masa dengan aktiviti seni dan kraf setiap hari.

"Kebanyakan pusat NASOM bergantung pada hasil jualan kraf tangan untuk menampung kos operasi," katanya.

Menyedari pentingnya penelitian dan kelebihan anak autisme ini, Pengarah Urusan Kumpulan CCM Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar, berkata sebagai tanda sokongan, pihaknya membeli semua hasil kraf tangan sebagai hadiah bagi setiap pembelian makanan kesihatan tambahan Vitamin C jenama Champs.

Beliau berkata, usaha murni ini diharap memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menyantuni kelebihan yang ada pada golongan istimewa.

"Kempen Kesedaran Autisme Champs-NASOM 2018 tahun ini meningkatkan kesedaran dalam menyokong kemahiran serta kesungguhan komuniti autisme ini dalam menghasilkan produk kreatif.

"Tahun lalu, kempen CCM Duopharma bertemakan "Setiap Kanak-Kanak Adalah Juara" mengumpul RM50,000. CCM Duopharma menderma 50 sen untuk setiap botol Champs Vitamin C dibeli.

"Jumlah derma sama juga diberikan pada setiap gambar pelanggan memakai baju biru yang dimuat naik ke Instagram dengan tag #mychampionsnasom," katanya.


LEONARD Ariff Abdul Shatar (empat dari kiri) belajar cara membuat gelang tangan. - Foto Liza Abdullah

436 dibaca
Berita Harian X