Khamis, 5 April 2018 | 7:52pm
JAMIL Khir merasmikan pengisytiharan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam.

Kahwin, cerai, gantung tak bertali diselesai segera

KUALA LUMPUR: Inisiatif penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah bukan sahaja dapat mempercepatkan penyelesaikan masalah perkahwinan dan penceraian difailkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, malah mampu membantu mengurangkan kes isteri tergantung tidak bertali.

Mahkamah Khas ini beroperasi serta-merta sebaik sahaja diisytiharkan penubuhannya secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, semalam.

Mahkamah ini juga bertanggungjawab memastikan setiap perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, dilaksanakan dengan sempurna menerusi saluran Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah berpandukan undang-undang sedia ada.

Tak perlu pindaan undang-undang

Jamil Khir berkata, mahkamah sedemikian yang pertama ditubuhkan di Malaysia, tidak memerlukan pindaan undang-undang atau akta, kerana ia kekal di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

"Ia hanya membabitkan pentadbiran, pengkhususan hakim dan dewan mahkamah sahaja.

"Mahkamah khas ini bertanggungjawab memastikan setiap perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syarikah Wilayah Persekutuan dilaksanakan dengan sempurna, melalui instrumen Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah berpandukan undang-undang sedia ada.

"Kebiasaannya, proses membabitkan perceraian, menuntut nafkah dan hak penjagaan mengambil tempoh agak panjang, hingga muncul tanggapan masyarakat bahawa perkhidmatan di Mahkamah Syariah dibuat dengan perlahan," katanya pada majlis pengisytiharan berkenaan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mukhyuddin Ibrahim; Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Ibrahim Deris dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

11,066 kes didaftar pada 2016

Mengikut statistik pendaftaran kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi 2013 hingga 2017 berjumlah 50,521 kes, manakala 2016 sebanyak 11,066 kes.

Jamil Khir berkata, inovasi ini mengumpulkan pakar perundangan seperti hakim dan peguam untuk mencari pendekatan bagi mempercepatkan proses perkahwinan atau perceraian.

"Semoga ia mampu bertindak menyelesaikan masalah rakyat dengan telus, malah menjadi ikutan di negeri lain pula," katanya.

Sementara itu, mengulas penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadanah dan Nafkah, Rohani berkata, beliau berharap mahkamah sedemikian dapat diperluaskan ke negeri lain, terutama Selangor yang mempunyai permohonan perceraian yang tinggi.

"Banyak kes tertangguh perlu dipercepatkan agar wanita mampu meneruskan kehidupan, selain kes penjagaan anak yang mampu memberi kesan kepada seluruh keluarga terbabit," katanya.

Pada masa sama katanya, sempena Tahun Memperkasa Wanita, kewujudan Mahkamah Khas itu dilihat membawa harapan baharu, terutama kepada wanita yang berhadapan dengan penangguhan kes.

Sementara itu, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Muhammad Khairul Nizam Kassim, berkata kewujudan mahkamah ini juga membuka peluang 23 perjawatan baharu agar berupaya melancarkan proses bicara kehakiman seperti mana di mahkamah lain.

559 dibaca
Berita Harian X