Sabtu, 24 March 2018 | 11:10am
PENGASAS Sunrich Heritage, Aziela Che Nor. - Foto NSTP

Penyambung nyawa ibu

"Apalah harga darah ini berbanding kasih sayang dan pengorbanan mama melahir dan membesarkan saya selama ini,"

Kata-kata ini masih segar dalam ingatan Pengasas Sunrich Heritage, Aziela Che Nor, 48, daripada anak sulungnya, Wan Muhammad Izzat Wan izani, 29, enam tahun lalu, ketika beliau bertarung dengan maut selepas disahkan menghidap leukimia.

Dalam keadaan tenat dan memerlukan penyumbang sel darah putih, anak sulung daripada empat adik beradik itu bersedia menawarkan darahnya untuk didermakan kepada ibu tersayang.

"Ketika itu, seperti mahu 'mengambil' nyawa anak sendiri. Saya tak sanggup tetapi permintaan anak melihat saya meneruskan hidup, membuatkan saya akur," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Rawang, baru-baru ini.

Aziela berkata, keputusan itu dibuat selepas doktor menyarankan beliau mencari darah sesuai menemui jalan buntu kerana hanya seorang dalam kalangan adik beradiknya memiliki darah jenis O. Bagaimanapun darah berkenaan tidak boleh didermakan kerana kandungan kolesterol yang tinggi.

"Pilihan yang ada ketika itu adalah membeli darah jenis sama, di Amerika Syarikat, milik seorang kanak-kanak pramatang. Namun prosesnya rumit kerana darah perlu dijaga dengan teliti sebelum dimasukkan ke dalam badan saya dengan kos RM250,000.

"Saat itu saya hanya fikir untuk pulih dan sedia menanggung kos, namun usaha berkenaan tidak diteruskan kerana doktor tiada jaminan bahawa prosedur itu akan pulih sepenuhnya.

"Saya lupakan hasrat berkenaan dan kemudian anak menawarkan darahnya sebagai pilihan bagi membolehkan saya meneruskan rawatan," katanya.

Saat menyedihkan

Menceritakan saat menyedihkan itu, beliau berkata keadaannya begitu uzur, perut membusung hinggakan ada menyatakan beliau di sihir.

"Saya sering demam dan sentiasa penat, tanpa disedari gejala itu adalah tanda awal seseorang diserang leukimia. Puas saja menjalani pemeriksaan di hospital kerajaan mahupun swasta, namun tidak dapat dikesan sehinggalah doktor di Hospital Ampang mengesahkan diserang leukimia," katanya.

Lebih memilukan Aziela berkata, seorang daripada doktor mengesahkan beliau hanya boleh bertahan dalam tempoh seminggu.

"Ketika itu, saya fikirkan anak yang masih kecil, bongsu masih menyusu badan. Perniagaan pula masih peringkat awal," katanya.

Dalam keadaan terpaksa memakai lampin pakai buang dan berkerusi roda, beliau nekad berjuang melawan penyakit. Sokongan suami dan anak-anak menguatkan semangatnya untuk terus hidup.

"Paling sayu saat rambut dicukur, mulut pecah, tekak perit dan sakit hingga sukar untuk makan. Setiap kali menjalani rawatan kemoterapi, saya sering mengingatkan keadaan hampir kepada kematian," katanya.

Selepas disahkan pulih daripada leukimia hujung tahun lalu, beliau bangkit kuatkan semangat meneruskan hidup dengan lebih sihat.

"Saya yakin pesakit di luar sana mampu sembuh, mereka perlu yakin dan positif setiap penyakit ada penawarnya.

"Mereka perlu tampil dan berkongsi masalah bersama bekas pesakit yang lain untuk mendapatkan suntikan semangat meneruskan hidup," katanya.

Beliau berkata, kesakitan itu banyak hikmahnya dan memberi kekuatan untuk terus berusaha. Sejak tahun lalu, beliau sudah menghasilkan tiga produk kecantikan di bawah jenama Bonda Zie yang kebanyakannya menggunakan ramuan berasaskan herba terutama minyak argan.

"Ketika menghidap leukimia kulit bertukar hitam, berjeragat, gatal dan berkudis kesan daripada rawatan kemoterapi.

"Saya amalkan ramuan semula jadi merawat masalah kulit. Selepas melihatkan kesan penggunaan produk berkenaan, khasiatnya dapat dikongsi wanita senasib ," katanya.

Antara produk lain di pasaran adalah sabun epal, set kecantikan wajah dan minuman jus kunyit untuk tenaga luaran dan dalaman.

INFO

Penyakit leukemia

*Leukemia adalah barah sel darah putih dan ia boleh dikategorikan sebagai lebihan sel darah putih di dalam sum-sum tulang.

* Penyakit leukemia pertama dikesan oleh doktor Perancis, Dr Velpeau, pada 1827.

Apakah jenis Leukemia?

1. Leukemia boleh jadi akut (merebak dengan cepat) atau kronik (merebak perlahan). Pada kanak-kanak lebih kurang 95 peratus adalah Leukemia Akut.

2. Leukemia lymphocytic akut juga dikenali sebagai ALL adalah yang paling biasa terdapat pada kanak-kanak.

3. Leukemia Myelogenous akut atau AML kebiasaannya terjadi dalam kalangan orang dewasa dari kanak-kanak.

4. Leukemia lymphocytic Chronic (CLL) berlaku pada orang dewasa berusia melebihi 55 . Ia juga boleh berlaku di kalangan remaja.

5. Leukemia myelogenous kronik (CML) biasanya berlaku pada orang dewasa sahaja. Hanya segelintir kanak-kanak dikesan mengalami penyakit ini.

Gejala penyakit

* Lesu

* Turun berat badan secara mendadak

* Hilang selera makan

* Demam berpanjangan

Jenis rawatan kemoterapi

* Pemindahan sum-sum tulang

* Sel stem

* Terapi biologi atau imunoterapi

* Rawatan radiasi.

856 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »