Khamis, 22 March 2018 | 9:33am
KAMPUNG Kobuni, Inanam, menyediakan 19 rumah inap desa untuk pengunjung. - Foto Norasikin Daineh

Inap desa jana rezeki ibu tunggal

KOTA KINABALU: Perkhidmatan inap desa yang ditawarkan penduduk Kampung Kobuni, Inanam, di sini, menjadi sumber pendapatan sampingan bagi ibu tunggal dan golongan wanita di kampung terletak 13 kilometer dari bandar raya dekat sini.

Kampung Kobuni adalah kampung pertama menyediakan khidmat inap desa kepada pengunjung yang menginginkan penginapan suasana kampung.

Dikenali sebagai Homestay Desa Cinta Kobuni, ia menyediakan 19 rumah inap desa yang menawarkan pelbagai aktiviti santai dan produk pelancongan berbentuk tradisional kepada pelancong yang berkunjung dan menginap di perkampungan berkenaan.

Antara yang mendapat manfaat daripada penyediaan perkhidmatan inap desa itu ialah Munisa Lee, 41, ibu tunggal yang menjalankan dua kerja bagi menyara dua anaknya.


KAMPUNG Kobuni, Inanam, menyediakan 19 rumah inap desa untuk pengunjung. - Foto Norasikin Daineh

Munisa berkata, pendapatan dengan bekerja di sebuah kilang roti tidak mencukupi untuk menyara perbelanjaan diri dan dua anaknya yang masih bersekolah menyebabkan dia sentiasa mengambil peluang melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

"Waktu malam saya bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang dan sebelah siang pula saya boleh bantu membersihkan bilik penginapan atau menyediakan keperluan untuk pengunjung yang menginap di sini.

"Sekurang-kurangnya dengan melakukan dua kerja, saya boleh menambah pendapatan keluarga kerana masih mempunyai dua anak yang perlu ditanggung persekolahan mereka," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Homestay Desa Cinta Kobuni, baru-baru ini.

Munisa yang sudah 11 tahun bergelar ibu tunggal berkata, sebelum ini dia melakukan pelbagai kerja untuk menambah pendapatan termasuk membuat kuih tradisional mengikut permintaan.

"Tetapi sejak adanya program inap desa di kampung ini, saya boleh membuat kuih-muih tradisional sebagai salah satu produk pelancongan kami di sini," katanya.


KAMPUNG Kobuni, Inanam, menyediakan 19 rumah inap desa untuk pengunjung. - Foto Norasikin Daineh

Antaranya aktiviti ditawarkan menerusi program inap desa di kampung itu termasuk meredah hutan, belajar bahasa tempatan dan budaya tempatan seperti muzik serta tarian tradisional, pembuatan kraftangan serta aktiviti santai di air terjun Kionsom yang hanya terletak satu kilometer dari kampung itu.

Semua aktiviti itu termasuk dalam pakej penginapan selama tiga hari dua malam berharga RM320, manakala bagi penginapan satu malam berharga RM120 serta RM60 untuk pengunjung yang datang berkunjung sehari di kampung ini untuk melakukan aktiviti yang disediakan.

Inap desa itu diusahakan masyarakat kampung itu yang mempunyai lebih 300 penduduk dengan majoritinya adalah berbangsa Dusun beragama Islam.


KAMPUNG Kobuni, Inanam, menyediakan 19 rumah inap desa untuk pengunjung. - Foto Norasikin Daineh

Sementara itu, pengusaha inap desa, Rozita Rahmin, 33, bersyukur kerana melalui bantuan pelbagai agensi penduduk berjaya mewujudkan komuniti yang mengusahakan inap desa secara bersama di kampung itu.

"Bagi saya, ia secara tidak langsung membantu penduduk berpendapatan rendah mempunyai pendapatan sampingan dan menaik taraf ekonomi keluarga masing-masing.

"Walaupun baru beroperasi, saya harap kampung kami akan menjadi tumpuan memandangkan ia terletak di kawasan yang sering dikunjungi iaitu air terjun Kionsom dan mempunyai produk tradisional walaupun berhampiran kawasan bandar raya Kota Kinabalu," katanya.

433 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »