;
Selasa, 6 March 2018 | 9:39am

Syor baucar makanan sihat ibu hamil

KUALA LUMPUR: Ibu hamil dalam kalangan warga kota, terutama daripada keluarga berpendapatan rendah memerlukan bantuan khas bagi memastikan mereka mendapat khasiat makanan sepanjang tempoh kehamilan.

Pengerusi Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed, berkata program bantuan rakyat yang diperkenalkan perlu diperluaskan dengan memberi tumpuan kepada golongan sasar.


PROF Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Saranan ini kata beliau, rentetan hasil kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), mendapati 22 peratus kanak-kanak yang mendiami projek perumahan rakyat (PPR) sekitar ibu kota terbantut proses tumbesaran mereka disebabkan kekurangan zat makanan.

Antara masalah yang dikenal pasti katanya, disebabkan keadaan ibu tergolong dalam kategori miskin bandar dan tidak mampu mendapatkan makanan berkhasiat sepanjang tempoh mengandung hingga menyusukan bayi.

Kesannya bayi tidak mendapat zat makanan hingga proses tumbesaran terjejas.

"Perkembangan fizikal dan mental anak menjadi topik perbincangan memandangkan proses tumbesaran bermula daripada saat awal kehamilan.

"Sepanjang tempoh sembilan bulan, ibu memerlukan sajian seimbang daripada sumber karbohidrat, protein, serat dan mineral," katanya kepada BH.


IBU hamil memerlukan sajian seimbang daripada sumber karbohidrat, protein, serat dan mineral. - Foto hiasan

Kurang zat makanan

Kaji selidik UNICEF Malaysia bersama firma analisis ekonomi tempatan, DM Analytics, tahun lalu melaporkan kira-kira 2,000 kanak-kanak daripada 1,000 keluarga sekitar Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran berhadapan masalah kurang zat makanan. Responden terdiri daripada penghuni PPR sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Pakar menyarankan kerajaan menyediakan 'Baucar Makanan Sihat Ibu Hamil' bertujuan memastikan anak yang dilahirkan sihat dan memperoleh zat yang mencukupi.

Mekanisme bantuan sedia menerusi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu diperkemas dengan tawaran sama kepada ibu hamil.

"Baucar dicadangkan secara bulanan selama 15 bulan iaitu sembilan bulan sewaktu ibu mengandung dan enam bulan ketika menyusu bayi," katanya.

Tampung keperluan diet

Katanya, bantuan ini bagi memastikan ibu mendapat makanan tambahan bagi menampung keperluan diet seterusnya bayi disusukan memperoleh zat mencukupi.

Mengulas hasil kajian juga mendapati 97 peratus keluarga miskin bandar gagal menyediakan makanan sihat untuk anak-anak, Dr Hamid Jan mencadangkan penambahbaikan pada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di semua sekolah rendah seluruh negara.

Beliau berkata, RMT perlu disediakan dua kali sehari iaitu sebelum masuk kelas jam 7.30 pagi dan sebelum pulang ke rumah jam 1.30 tengah hari.

"Apabila sampai di rumah, keluarga tidak dapat menyediakan makanan tengah hari menyebabkan murid kelaparan.

"Cadangan ini pastinya meningkatkan perbelanjaan, rasionalnya usaha ini perlu kerana memberi manfaatkan kepada kerajaan melahirkan generasi muda yang berdaya saing bagi meningkatkan produktiviti negara," katanya.

614 dibaca
Berita Harian X