Jumaat, 23 Februari 2018 | 10:58am
PENSYARAH Psikologi Dakwah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fariza Md Sham

Sukar kawal marah, suka mendera

BANGI: Penyelidikan psikologi individu membuktikan mereka yang cenderung mendera, dikenal pasti sebagai individu yang mempunyai perasaan marah yang sukar dikawal.

Pensyarah Psikologi Dakwah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fariza Md Sham, berkata individu terbabit mempunyai jiwa amarah, hingga hilang pertimbangan dan sanggup melakukan perbuatan mengikut perasaan.

Beliau berkata, mereka biasanya memiliki personaliti seperti tidak berperikemanusiaan dan sukar mengawal emosi.

Amarah disebabkan pelbagai faktor antaranya tekanan hidup, selain rasa penat selepas seharian bekerja menyebabkan mereka hilang pertimbangan hingga sanggup melakukan penderaan.

"Kegagalan mengawal emosi ini menyebabkan mereka menjadikan anak tempat melepaskan tekanan, terutama apabila melakukan sesuatu tidak disukai, walaupun membabitkan perkara kecil.

"Kegagalan mengawal emosi menyebabkan jiwa mereka mengalami gangguan dan tidak pernah tenang hingga tidak boleh berfikir secara rasional," katanya ketika dihubungi BH Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian kanak-kanak mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, dipercayai didera bapa kandungnya.

Menurut statistik dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sepanjang tempoh dua tahun bermula 2015 mencatatkan 4,652 kes penderaan membabitkan kanak-kanak dilaporkan.

Penderaan fizikal mencatatkan kes tertinggi iaitu (2,470), seksual (2,012 ) dan emosi (170).

Fariza berkata, faktor sosioekonomi, perceraian dan kos sara hidup yang semakin meningkat antara punca ibu bapa atau penjaga mengalami tekanan.

Beliau berkata, apabila membina perkahwinan baharu, berlaku keadaan anak daripada perkahwinan terdahulu diabaikan.

"Faktor bukan anak biologi menjadi sebab penjaga mendera anak.

"Pada masa sama juga kemungkinan berlaku keadaan di mana anak memberontak apabila permintaan mereka tidak dipenuhi.

"Situasi ini menyebabkan berlaku perselisihan faham antara pasangan hingga mendorong berlakunya penderaan.

"Keadaan ini jika dibiarkan meninggalkan kesan emosi dan trauma dalam hidup kanak-kanak, seterusnya menyebabkan mereka mengalami gangguan psikologi dan hilang keyakinan," katanya.

979 dibaca
Berita Harian X