Rabu, 21 Februari 2018 | 2:26pm
DATUK Suriani Ahmad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PapaCare sedia urutan khas untuk lelaki

PUTRAJAYA: Selepas kejayaan MamaCare bagi meningkatkan taraf hidup ibu tunggal, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperkenalkan program khas untuk lelaki, tidak lama lagi

Menerusi program dikenali sebagai PapaCare, menfokus kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), yang cacat penglihatan untuk dilatih dalam bidang urutan khas untuk lelaki.

Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Suriani Ahmad, berkata program berkenaan bertujuan meningkatkan pendapatan OKU penglihatan di seluruh negara.

Katanya, OKU itu juga akan dilatih mengesan pelbagai penyakit yang lazimnya dihadapi lelaki, khususnya membabitkan sakit tuan.

"PapaCare adalah susulan kejayaan MamaCare yang dinobatkan antara lima penerima Anugerah Inovasi Kebangsaan.

"Peserta yang mendaftar dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan diberikan pakej mengandungi pakaian seragam dan beg kelengkapan untuk mengurut," katanya kepada BH.

Suriani berkata, program itu dijangka mendapat sambutan yang baik dalam kalangan OKU buta, khususnya yang sudah memiliki kemahiran mengurut.

Katanya, peserta akan menikmati pelbagai manfaat dengan mendaftar untuk menyertai program berkenaan termasuk mendapatkan pelanggan, seterusnya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

Pelaksanaan program PapaCare adalah sama dengan MamaCare yang mana data peserta akan disimpan di dalam portal khas LPPKN untuk memudahkan pelanggan menempah mereka untuk mendapatkan perkhidmatan.

LPPKN akan memadankan peserta dengan pelanggan untuk janji temu pada masa dan tempat sesuai.

Setakat ini, program itu belum dibuka kepada golongan berkenaan, tetapi bakal diumumkan dan ditawarkan selewat-lewatnya pada tahun ini.

1531 dibaca
Berita Harian X