Rabu, 21 Februari 2018 | 2:22pm
SEBAHAGIAN peserta sibuk menjahit sulaman di Pusat Latihan Wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dan Armalah (Ibu Tunggal) di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
ORANG Kurang Upaya (Pekak dan Bisu), Syarifah Dollah, 47 mengukur baju pelanggannya di Pusat Latihan Wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dan Armalah (Ibu Tunggal) di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu.- Foto Nik Abdullah Nik Omar
PESERTA sibuk menjahit sulaman di Pusat Latihan Wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dan Armalah (Ibu Tunggal). - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Latihan menjahit ubah hidup OKU

KOTA BHARU: Ibu tunggal dan wanita kurang upaya yang berpendapatan rendah serta sederhana di negeri ini menarik nafas lega apabila mampu meningkatkan taraf hidup selepas mengikuti kelas menjahit di Pusat Latihan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Armalah, sejak tahun lalu.

Pusat latihan dengan kos RM1 juta yang beroperasi pada Mei tahun lalu, terletak di Bazar Siti Aisyah, dekat sini, dibina hasil kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan.

Ketika ini, seramai 13 peserta termasuk ibu tunggal dan dua wanita OKU mengikuti latihan menjahit dan menyulam.

Peserta OKU, Saripah Dollah, 47, berkata beliau bersyukur diberi peluang mengikut aktiviti dan latihan di pusat itu.

"Sejak saya menyertai kelas di pusat ini Alhamdulillah dapat meningkatkan ilmu menjahit dan menyulam.

"Saya bangga kerana berjaya menghasilkan rekaan baju yang lebih menarik berbanding sebelum ini.

"Tempahan semakin banyak apabila mereka berpuas hati dengan hasil kerja tangan ini, sekali gus dapat menambahkan pendapat saya," kata ibu kepada lima anak yang berasal dari Machang.

Saripah yang cacat pendengaran dan bisu sejak lahir, berkata pendapatan yang beliau peroleh daripada hasil menjahit baju digunakan untuk menambah pendapatan keluarga.

Sebelum ini, mereka sekeluarga hanya bergantung sepenuh pendapatan daripada suaminya, Soh Hassan, 55, yang bekerja bekerja sebagai pembuat perabot.

"Suami saya membuat perabot hasil tempahan pelanggan. Pendapatan bulanan kecil dan tidak menentu. Pendapatan bulanan bergantung kepada berapa banyak tempahan dan ia tidak dapat menampung perbelanjaan untuk kami sekeluarga.

"Kini saya menjahit baju dan jubah dengan pendapatan antara RM500 dan RM600 sebulan. Jadi dapatlah saya membantu suami dan meningkatkan lagi taraf hidup kami," katanya yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Seorang peserta OKU yang cacat mata kanan selepas terkena tandukan kerbau tiga tahun lalu, Suriati Ibrahim, 35, berkata beliau berjaya menambah pendapatan keluarga selepas menyertai kelas di pusat latihan terbabit.

"Sebelum ini, saya menyertai kelas yang sama di Telipot, selama enam bulan tetapi mendapati ia tidak mencukupi untuk menghasilkan rekaan yang cantik dan menarik minat pelanggan.

"Bagaimanapun, selepas saya mengikuti latihan menyulam selama dua tahun di pusat ini, ia menampakkan hasil yang amat baik. Saya berjaya mempelbagaikan teknik sulaman," katanya.

Anak kelahiran Bachok ini berkata, beliau banyak menerima tempahan membuat sulaman untuk telekung, baju kurung dan lain-lain.

"Pendapatan saya bertambah setiap bulan. Saya gunakan wang itu

untuk membantu keluarga. Saya masih bujang dan menggunakan wang itu sebaik mungkin.

"Sebahagiannya saya beri kepada ibu bapa, manakala sebahagian lagi untuk simpanan masa depan," katanya yang juga anak keempat daripada 12 beradik.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Kelantan, Mumtaz Md Nawi, berkata pusat itu antara yang terbesar di negeri ini.

Katanya, setakat ini, sebanyak 45 pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) ada di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

"Kerajaan negeri ingin melihat wanita OKU dan ibu tunggal negeri ini berdikari mencari pekerjaan untuk membantu keluarga.

"Sehingga kini, seramai 4,587 tukang penjahit dilahirkan daripada pusat latihan itu yang turut menyediakan enam modul, iaitu menjahit blaus, skirt, kurung tradisional, kurung moden dan pakaian kanak-kanak," katanya.

 

Kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan terbabit dengan memperuntukkan RM4.5 juta setahun bagi tujuan latihan di pusat terbabit.

372 dibaca
Berita Harian X