Khamis, 21 Disember 2017 | 3:15pm
Pengarah di Bahagian Bimbingan dan Kaunseling Jabatan Pembangunan Wanita, Dr Raja Kamariah Raja Mohd Khalid. - Foto Aizuddin Saad

Suami kena faham psikologi isteri

KUALA LUMPUR: Suami perlu memahami psikologi wanita yang lebih teliti dari segi pengendalian urusan rumah tangga termasuk kiraan kos perbelanjaan untuk seisi keluarga.

Contoh terdekat ialah ketika ini, menjelang tahun baharu, persiapan persekolahan anak-anak menjadi agenda penting pada semua ibu bapa.

Pengarah di Bahagian Bimbingan dan Kaunseling Jabatan Pembangunan Wanita, Dr Raja Kamariah Raja Mohd Khalid, berkata dalam menghadapi situasi itu, suami perlu membuat perancangan perbelanjaan anak dan tidak bergantung kepada isteri semata-mata.

Katanya, perbincangan perlu dibuat setiap tahun bagi perbelanjaan tahunan setiap anak sebagai persediaan awal untuk mengurangkan tekanan.

"Lazimnya tugas membuat persiapan kelengkapan anak dilakukan isteri. Sudah pasti mereka mahukan yang terbaik dan perbelanjaan seharusnya diperuntukkan supaya dapat melaksanakannya dengan baik.

"Isteri jarang mengeluh atau merungut kerana bagi wanita khususnya isteri, mereka akan buat apa saja untuk anak-anak dan tidak mahu bebankan suami.

"Padahal, jauh dalam minda dan emosi mereka mahukan suami atau pasangan lebih sensitif dengan pengorbanan mereka," katanya ketika dihubungi BH.

Dr Raja Kamariah berkata, keadaan itu berbeza dengan lelaki dan secara psikologinya mereka pula perlu diberitahu apa yang harus dilakukan terutama soal kewangan.

Lantas, suami juga hendaklah peka dengan cara wanita berfikir.

Katanya, wanita lebih teliti dan mengambil kira pelbagai aspek sebelum memberi sesuatu yang sering disalah anggap oleh suami.

"Isteri pula perlu belajar untuk berkongsi perasaan secara rasional (iaitu tidak membabit emosi) dan lakukannya pada masa yang sesuai.

"Secara psikologi, isteri seharusnya cuba memahami trend mood suami untuk meminta sesuatu atau pandangan kerana selalunya lelaki atau suami memerlukan masa bertenang dalam menukar 'peranan'.

"Contohnya dari segi peranan pekerja kepada suami dan bapa. Setiap kali perubahan peranan ini lelaki atau suami perlukan sedikit masa.

"Oleh itu, bila suami pulang ke rumah beri mereka masa sebelum bercerita tentang apa yang berlaku di rumah," katanya.

Menurut Dr Kamariah, wanita perlu faham bahawa cara gaya lelaki memproses maklumat.

Katanya, lelaki akan cepat bosan jika sesuatu perkara diulang banyak kali (sedangkan wanita suka menerangkan sesuatu berkali kali).

"Oleh itu, wanita perlu bijak 'mengingatkan' suami. Mungkin dengan cara catatan di ruang dapur atau hanya mengulangi janji untuk membeli-belah peralatan sekolah anak untuk dua hari atau sehari sebelum.

Suami dan isteri perlu memahami psikologi pasangan masing-masing. Dengan kemahiran ini, apa bentuk perancangan akan dapat dibuat secara sepakat termasuklah perancangan perbelanjaan tahunan.

Peranan yang dimainkan suami ini adalah sesuai dengan tema Tahun Memperkasakan Wanita 2018 oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

2849 dibaca
Berita Harian X