Sabtu, 9 Disember 2017 | 7:48pm
PENGARAH Urusan Pusat Pertolongan Wanita (WHO), Sumitra Visvanathan (kiri) bersama penulis buku Bernice Chauly (dua dari kiri), Chan Wen Li (dua dari kanan) dan Linda Iskandar (kanan) pada majlis pelancaran buku Kembara Hidup Tina. - Foto Rohanis Shukri

Karya kreatif bantu terima hakikat

KUALA LUMPUR: Karya seni dalam bentuk puisi membantu Linda Iskandar, 45 menerima hakikat bahawa ikatan perkahwinan antara beliau dan suami harus menemui titik noktah.

Ibu kepada dua orang cahaya mata berusia 12 dan enam tahun ini mengaku menjadi mangsa dera suami sejak berkahwin, namun menafikan kebenaran itu atas dasar cinta.

"Ramai terkejut saya bertahan untuk tempoh 12 tahun didera. Tetapi, sebenarnya yang menyebabkan saya bertahan ialah rasa penafian. Saya menafikan hakikat saya menjadi mangsa.

"Walaupun ramai orang cuba membantu, saya tetap sayangkan suami. Selepas bergaduh, dia pujuk saya. Lepas itu kami berbaik kembali. Senang cakap, saya sebenarnya mengalami tekanan mental dan 'psycho' waktu itu," katanya.

Linda berkata demikian, sewaktu ditemui pada majlis pelancaran buku Kembara Hidup Tina (Think I Need Aid): Koleksi ungkapan dan puisi oleh mangsa keganasan rumah tangga.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan, penulis buku, Bernice Chauly dan illustrator buku Chan Wen Li.

Linda berkata, pada peringkat awal perkahwinan, sepak dan terajang suami, diterima atas motif cemburu. Namun selepas itu semakin tidak menentu.

"Dia akan pukul saya kalau berada dalam keadaan marah. Saya seolah-olah menjadi 'punching beg' untuknya melepaskan rasa marah," katanya.

Hanya pada 22 Ogos 2016, tergerak hatinya memperoleh bantuan dan perlindungan daripada WAO.

Untuk tempoh tiga bulan tinggal di WAO, Linda mengumpul kekuatan dan antara medium digunakan WAO untuk membantu mangsa memperoleh kembali keyakinan diri ialah menerusi bengkel penulisan kreatif yang dikendalikan Bernice.

"Penulisan kreatif sangat membantu mangsa sebab bila kita tulis puisi, ia seolah-olah 'memaksa' kita meluahkan perasaan yang sebelum ini saya dan mangsa lain cuba nafikan.

"Sedikit demi sedikit, menerusi kelas penulisan itu dan sokongan moral daripada WAO, mengembalikan semangat saya yang sebelum itu luntur kerana didera," katanya.

Beliau akhirnya bercerai dan bekas suaminya baharu saja meninggal dunia akibat sakit jantung, 5 Disember lalu.

Wanita kelahiran Sabah ini, berkata kisah hidupnya harus menjadi pengajaran wanita untuk sedar dan mendapatkan bantuan, saat pertama dikasari suami.

"Bukan saya tidak pernah berusaha, tetapi bekas suami juga enggan merujuk ke kaunseling," katanya.

Sementara itu, Sumitra berkata, buku berkenaan diharap menjadi panduan kepada wanita dan masyarakat untuk sedar bahawa mereka tidak seharusnya menjadi mangsa.

"Kita berhak untuk hidup bahagia dan perlu saya tekankan, kita bertujuan membantu mangsa dan pasangan untuk pulih, bukannya semata-mata untuk tuntut perceraian. Dapatkan bantuan dan jangan berdiam diri," katanya.

Bagi Bernice, buku penulisan kreatif itu ditulis menerusi kira-kira 500 karya mangsa dera domestik, yang diluahkan dalam pelbagai medium termasuk karya penulisan dan kerja kraf.

Beliau yang menjadi pengendali bengkel penulisan dalam kalangan  mangsa penderaan di WAO sejak dua tahun lalu, berkata karya penulisan lebih mudah difahami orang ramai dalam menyelami pengalaman dilalui mangsa.

"Cabaran untuk saya menghasilkan buku inilah untuk ringkaskan ia dalam bentuk kata-kata puitis menerusi ilustrasi menarik," katanya.

Buku berharga RM30 itu boleh dibeli di WOA.

INFO

* Talian bantuan WAO 03-7956 3488.

* Talian aplikasi WhatsApp : TINA 018 988 8058.

124 dibaca
Berita Harian X